AKTA 559
AKTA KESALAHAN JENAYAH SYARIAH (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1997

BAHAGIAN IV - KESALAHAN YANG BERHUBUNGAN DENGAN KESUSILAAN



Seksyen 23. Persetubuhan luar nikah.


(1) Mana-mana orang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan orang perempuan yang bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

(2) Mana-mana orang perempuan yang melakukan persetubuhan dengan orang lelaki yang bukan suaminya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana hukuman itu.

(3) Hakikat bahawa seorang perempuan hamil luar nikah akibat daripada persetubuhan yang dilakukan dengan kerelaannya adalah keterangan
prima facie tentang pelakuan kesalahan di bawah subseksyen (2) oleh orang perempuan itu.

(4) Bagi maksud subseksyen (3), mana-mana orang perempuan yang melahirkan anak yang sempurna sifatnya dalam tempoh yang kurang daripada enam bulan
qamariah dari tarikh pernikahannya hendaklah disifatkan telah hamil luar nikah.



Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.