AKTA 303 AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984
BAHAGIAN VII - JAGAAN Jagaan ke atas Orang dan Harta
Seksyen 88. Orang yang berhak kepada jagaan
(1) Sungguh pun hak terhadap hadhanah atau jagaan anak mungkin terletak hak pada seseorang lain, bapa adalah penjaga hakiki yang pertama dan utama bagi diri dan harta anaknya yang belum dewasa, dan apabila bapa telah mati, maka hak di sisi undang-undang bagi menjaga anaknya itu adalah turun kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan yang berikut, iaitu—
(a) datuk lelaki di sebelah bapa;
(b) wasi yang dilantik menurut wasiat bapa;
(c) wasi kepada wasi bapa;
(d) wasi datuk lelaki di sebelah bapa;
(e) wasi kepada wasi datuk di sebelah bapa:
Dengan syarat bahawa dia adalah seorang Islam, seorang dewasa, adalah siuman, dan boleh dipercayai.
(2) Bapa adalah sentiasa mempunyai kuasa paling luas untuk membuat melalui wasiat apa-apa perkiraan yang difikirkannya baik sekali berhubung dengan jagaan anak-anaknya yang masih kanak-kanak dan berhubung dengan hal memperlindungi kepentingan mereka, dengan syarat bahawa dia adalah siuman sepenuhnya.
(3) Subseksyen (1) tidaklah terpakai jika terma-terma dan syarat-syarat bagi surat cara yang meletakhakkan harta pada kanak-kanak itu secara nyata yang tidak membenarkan orang yang tersebut di dalamnya daripada menjalankan apa-apa kuasa ke atas harta itu, dan dalam hal yang demikian Mahkamah hendaklah melantik seorang penjaga bagi harta kanak-kanak itu.
(4) Bagi maksud jagaan ke atas diri dan harta, seseorang hendaklah disifatkan sebagai kanak-kanak melainkan dia telah genap umur lapan belas tahun.