AKTA 561
AKTA KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1997

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN KESAN KETERANGAN
BAB 2 - SAKSI




Seksyen 83. Siapa yang boleh memberikan keterangan sebagai saksi.


(1) Tertakluk kepada peruntukan seksyen ini, semua orang Islam adalah kompeten untuk memberikan syahadah atau bayyinah sebagai saksi dengan syarat bahawa mereka adalah 'aqil, baligh, 'adil, mempunyai ingatan yang baik dan tidak berprasangka.

Huraian-Seseorang Islam adalah disifatkan 'adil jika dia menunaikan obligasi agamanya, melaksanakan kewajipan agama yang ditetapkan, menahan diri daripada melakukan dosa besar dan tidak terus menerus melakukan dosa kecil.

(2) Seseorang yang bukan Islam adalah kompeten untuk memberikan bayyinah untuk orang Islam jika keterangannya boleh diterima mengikut Hukum Syarak.

Huraian-Bayyinah seorang pakar bukan Islam terhadap seorang Islam boleh diterima, jika dikehendaki.

(3) Seseorang yang tidak 'adil adalah kompeten untuk memberikan bayyinah tetapi tidak kompeten memberikan syahadah.

(4) Seseorang yang belum baligh atau seseorang yang tak sempurna akal adalah kompeten untuk memberikan bayyinah tetapi tidak kompeten untuk memberikan syahadah.

Huraian-Bayyinah seorang orang belum dewasa dalam kes kecederaan yang dilakukan oleh beberapa orang orang belum dewasa ke atas yang lain boleh diterima dengan syarat bahawa antara mereka tiada perselisihan faham dan mereka berada di tempat kejadian itu.

(5) Seseorang yang mempunyai ingatan yang lemah atau yang pelupa atau mengidap hilang ingatan adalah kompeten untuk memberikan bayyinah tetapi tidak kompeten untuk memberikan syahadah.

(6) Seseorang yang kebolehpercayaannya diragui kerana hubungan baiknya dengan dan mempunyai kepentingan dalam pihak menentang adalah kompeten untuk memberikan bayyinah tetapi tidak kompeten untuk memberikan syahadah.

(7) Seseorang yang kebolehpercayaannya diragui kerana hubungan buruknya dengan pihak menentang adalah kompeten untuk memberikan bayyinah tetapi tidak kompeten untuk memberikan syahadah.




Copyright © 2006 PNMB-LawNet. All rights reserved.