AKTA 505
AKTA PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1993

BAHAGIAN II - MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN




Seksyen 5. Identiti di sisi undang-undang dan kuasa-kuasa Majlis.

(1) Majlis hendaklah menjadi suatu pertubuhan perbadanan yang kekal turun-temurun dan mempunyai suatu meterai perbadanan, dan meterai tersebut boleh dari semasa ke semasa dipecahkan, ditukar, diubah dan dibuat baharu sebagaimana yang difikirkan patut oleh Majlis, dan, sehingga suatu meterai diadakan di bawah seksyen ini, suatu cap yang mengandungi tulisan "Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan" bolehlah digunakan sebagai meterai perbadanan.

(2) Majlis boleh mendakwa dan didakwa dengan nama perbadanannya.

(3) Majlis boleh mengikat kontrak dan boleh memperolehi, membeli, mengambil, memegang, dan menikmati segala perihal harta alih dan tak alih, dan tertakluk kepada mana-mana undang-undang bertulis yang menyentuhnya, boleh memindahhak, menyerahhak, menyerahkan dan memulangkan, menggadai, menggadai-janji, mendemis, menyerahhak semula, memindahmilik atau selainnya melupuskan, atau memperlakukan, mana-mana harta alih atau tak alih yang terletakhak pada Majlis atas apa-apa terma yang difikirkan patut oleh Majlis dan mengikut Hukum Syarak.

(4) Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka seseorang si mati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah.

(5) Majlis hendaklah mempunyai apa-apa kuasa selanjutnya dan menjalankan apa-apa kewajipan yang diberikan kepadanya oleh Akta ini atau mana-mana Akta lain.



Copyright © 2006 PNMB-LawNet. All rights reserved.