AKTA 303 AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984
BAHAGIAN II - PERKAHWINAN
Seksyen 9. Pertalian yang melarang perkahwinan
(1) Tiada seseorang lelaki atau perempuan, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh, oleh sebab nasab, berkahwin dengan—
(a) ibunya atau bapanya;
(b) neneknya hingga ke atas sama ada dari sebelah bapa atau dari sebelah ibu;
(c) anak perempuannya atau anak lelakinya dan cucu perempuannya atau cucu lelakinya hingga ke bawah;
(d) saudara perempuan atau saudara lelaki seibu sebapa, saudara perempuan atau saudara lelaki sebapa, dan saudara perempuan atau saudara lelaki seibu;
(e) anak perempuan atau anak lelaki kepada saudara lelaki atau saudara perempuan hingga ke bawah;
(f) ibu saudara atau bapa saudara sebelah bapanya hingga ke atas;
(g) ibu saudara atau bapa saudara sebelah ibunya hingga ke atas.
(2) Tiada seseorang lelaki atau perempuan, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh, oleh sebab pertalian kahwin, berkahwin dengan—
(a) ibu mertuanya atau bapa mertuanya hingga ke atas;
(b) ibu tirinya atau bapa tirinya, iaitu isteri bapanya atau suami ibunya;
(c) nenek tirinya, iaitu isteri atau suami kepada nenek lelakinya, atau nenek perempuannya, sama ada dari sebelah bapa atau sebelah ibu;
(d) menantunya;
(e) anak perempuan atau anak lelaki tirinya hingga ke bawah daripada isteri atau suami yang perkahwinan itu telah disatukan.
[(e) Pin. Akta A902:s.5]
(3) Tiada seseorang lelaki atau perempuan, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh, oleh sebab sesusuan, berkahwin dengan seseorang perempuan atau lelaki yang ada hubungan dengannya melalui penyusuan di mana, jika hubungan itu adalah
melalui kelahiran dan bukan melalui penyusuan, perempuan atau lelaki itu tetap dilarang berkahwin dengannya oleh sebab nasab atau pertalian kahwin.
(4) Tiada seseorang lelaki boleh mempunyai dua isteri pada satu masa jika isteri-isteri itu adalah bertalian antara satu sama lain melalui nasab, pertalian kahwin, atau sesusuan dan pertalian itu adalah daripada jenis yang, jika salah seorang daripada mereka adalah seorang lelaki, menjadikan perkahwinan antara mereka tetap tidak sah di sisi Hukum Syarak.