AKTA 505
AKTA PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1993

BAHAGIAN VI - KEWANGAN
Amanah Khairat




Seksyen 60. Penubuhan Baitulmal.

(1) Suatu Kumpulan Wang yang dikenali sebagai Baitulmal adalah dengan ini ditubuhkan. Kumpulan Wang itu hendaklah terdiri daripada semua wang dan harta, alih atau tak alih, yang menurut Hukum Syarak atau di bawah peruntukan-peruntukan Akta ini atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya terakru, atau disumbangkan oleh mana-mana orang, kepada Kumpulan Wang.

(2) Semua wang dan harta dalam Kumpulan Wang hendaklah terletakhak pada Majlis yang hendaklah mentadbirkan semua wang dan harta itu mengikut kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Akta ini:

Dengan syarat bahawa mana-mana pelaburan aset dan kumpulan-kumpulan wang yang terletakhak pada Majlis boleh dijual, dihasilkan atau dilupuskan, dan hasil-hasil daripadanya boleh dilaburkan dari semasa ke semasa dalam mana-mana pelaburan yang dibenarkan oleh mana-mana undang-undang bertulis yang sedang berkuatkuasa bagi pelaburan wang amanah.

(3) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Akta ini, Majlis, dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong, boleh membuat kaedah-kaedah bagi pemungutan, pentadbiran dan pembahagian semua harta Kumpulan Wang.



Copyright © 2006 PNMB-LawNet. All rights reserved.