AKTA 560
AKTA TATACARA JENAYAH SYARIAH (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1997

BAHAGIAN V - PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
BAB 8 - DARIHAL HUKUMAN DAN PELAKSANAANNYA




Seksyen 129. Pesalah kali pertama.

(1) Apabila mana-mana orang yang bukan seorang pesalah muda telah disabitkan di hadapan mana-mana Mahkamah atas apa-apa kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan, maka jika didapati oleh Mahkamah itu bahawa dengan mengambil kira watak, latar belakang, umur, kesihatan atau keadaan mental pesalah itu atau kepada hakikat ringannya jenis kesalahan itu atau kepada apa-apa hal keadaan peringan yang dalamnya kesalahan itu telah dilakukan adalah suaimanfaat bahawa pesalah itu dilepaskan dalam cubaan akhlak untuk berkelakuan baik, Mahkamah boleh, dengan tidak menghukumnya serta-merta dengan apa-apa hukuman, mengarahkan supaya pesalah itu dilepaskan apabila dia mengikat bon dengan penjamin-penjamin dan sepanjang apa-apa tempoh sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah untuk hadir dan menerima penghakiman jika dan apabila dipanggil dan sementara itu hendaklah berkelakuan baik.

(2) Jika Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk memperlakukan pesalah itu berkenaan dengan kesalahan asalnya berpuas hati bahawa pesalah itu telah tidak mematuhi mana-mana syarat bonnya, ia bolehlah mengeluarkan suatu waran bagi pemberkasannya.

(3) Mana-mana pesalah apabila diberkas dengan mana-mana waran sedemikian hendaklah, jika tidak dibawa dengan serta-merta ke hadapan Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menghukumnya, dibawa ke hadapan seorang Hakim, dan Hakim itu boleh sama ada menahannya melalui waran sehingga masa dia dikehendaki oleh bonnya untuk hadir bagi penghakiman atau sehingga bersidangnya Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menguruskan kesalahan asalnya, atau boleh membenarkan dia mengikat jamin dengan penjamin yang mencukupi dengan syarat dia hadir bagi penghakiman.

(4) Pesalah itu, apabila ditahan sedemikian, boleh dipenjarakan dan waran tahanannya hendaklah memerintahkan supaya dia dibawa ke hadapan Mahkamah yang di hadapannya dia terikat untuk hadir bagi penghakiman atau untuk memberikan jawapan tentang kelakuannya sejak dia dilepaskan.





Copyright © 2006 PNMB-LawNet. All rights reserved.