AKTA 561 AKTA KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1997
BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN KESAN KETERANGAN BAB 2 - SAKSI
Seksyen 87. Cara memberikan keterangan.
(1) Dalam kes mal, keterangan hendaklah diberikan oleh plaintif dan defendan, dan jika defendan menafikan tuntutan terhadapnya dia hendaklah dikehendaki mengangkat sumpah mengikut Hukum Syarak.
(2) (a) Jika defendan mengangkat sumpah di bawah subseksyen (1), tuntutan yang dibuat oleh plaintif hendaklah ditolak.
(b) Jika defendan enggan mengangkat sumpah, maka Mahkamah bolehlah meminta plaintif mengangkat sumpah dan dengan sumpah itu tuntutannya hendaklah diterima.
(3) Dalam kes jenayah, keterangan hendaklah diberikan bagi pendakwa dan bagi tertuduh melainkan jika tertuduh mengaku salah.