AKTA 303
AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984

BAHAGIAN I - PERMULAAN




Seksyen 2. Tafsiran

(1) Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang berlainan—

“Akta Pentadbiran” ertinya Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505];
[Mas. Akta A902:s:3].

“anak dara” ertinya seorang perempuan yang belum pernah bersetubuh, sama ada sudah berkahwin atau belum;

“baligh” ertinya umur baligh mengikut Hukum Syara;
[Mas. Akta A902:s:3].

“balu” ertinya perempuan yang suaminya telah mati;

“bermastautin” ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya tinggal dalam sesuatu kawasan yang tertentu;

“darar syarie” ertinya bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, akhlak atau harta benda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syarak;
[Pin. Akta A902:s:3].

“duda” ertinya lelaki yang isterinya telah mati;

“Enakmen Pentadbiran” ertinya Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1952 [En. Selangor 3 tahun 1952] bagi Negeri Selangor—
[Pin. P.U.(A)247/2002;s.4].
[Mas. Akta A828:s.3], [Pin. P.U.(A)247/2002;s.4]
[Mas. P.U.(A)247/2002;s.4].

“fasakh” ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Hukum Syarak mengikut seksyen 52;

“Hakim Syarie” atau “Hakim” ertinya Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang dilantik di bawah subseksyen 43(1) Akta Pentadbiran;
[Gan. Akta A902:s.3]

“harta sepencarian” ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;

“Hukum Syara” ertinya Undang-Undang Islam mengikut mana-mana Mazhab yang diiktiraf;
[Gan. Akta A902:s.3]

“janda” ertinya perempuan yang telah bernikah dan diceraikan setelah bersetubuh;

“kariah masjid” berhubung dengan sesuatu masjid, ertinya kawasan, sempadan yang ditetapkan di bawah seksyen 75 Akta Pentadbiran;
[Gan. Akta A902:s.3]

“Ketua Pendaftar” ertinya seorang Ketua Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28;

“Ketua Pendakwa Syarie” ertinya pegawai yang dilantik di bawah subseksyen 58(1) Akta Pentadbiran;
[Mas. Akta A902:s:3].

“Kitabiyah” ertinya—
“Mahkamah” atau “Mahkamah Syariah” ertinya Mahkamah Rendah Syariah atau Mahkamah Tinggi Syariah yang ditubuhkan di bawah seksyen 40 Akta Pentadbiran;
[Gan. Akta A902:s:3].

“Mahkamah Rayuan Syariah” ertinya Mahkamah Rayuan Syariah yang ditubuhkan di bawah subseksyen 40(3) Akta Pentadbiran;
[Mas. Akta A902:s.3]

“Majlis” ertinya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan di bawah seksyen 4 Akta Pentadbiran;
[Mas. Akta A902:s.3]

“mas kahwin” ertinya pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa jaminan, atau berupa sesuatu yang, menurut Hukum Syarak, dapat dinilai dengan wang;

“mut’ah” ertinya bayaran sagu hati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan;

“nasab” ertinya keturunan yang berasaskan pertalian darah yang sah;

“Peguam Syarie” ertinya orang yang diterima di bawah seksyen 59 Akta Pentadbiran sebagai Peguam Syarie;
[Mas. Akta A902:s.3]

“pemberian” ertinya pemberian sama ada dalam bentuk wang atau benda yang diberikan oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan;
[Mas. Akta A902:s.3]

“Pendaftar” ertinya Pendaftar Kanan Perkahwinan, Penceraian, dan Ruju’ Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28, dan termasuk Pendaftar dan Penolong Pendaftar;
[Gan. Akta A902:s.3]

“persetubuhan syubhah” ertinya persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk mana-mana persetubuhan yang tidak dihukum Had dalam Islam;

“ruju” ertinya perkembalian kepada nikah yang asal;

“sesusuan” ertinya penyusuan bayi dengan perempuan yang bukan ibu kandungnya sekurang-kurangnya sebanyak lima kali yang mengenyangkan dalam masa umurnya dua tahun ke bawah;

“ta’liq” ertinya lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan peruntukan Akta ini;

“tarikh yang ditetapkan” ertinya tarikh yang ditetapkan di bawah subseksyen 1(2) untuk mula berkuatkuasanya Akta ini;

“thayyib”ertinya perempuan yang pernah bersetubuh;

“tidak sah taraf”, berhubung dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah;

“wali Mujbir” ertinya bapa atau datuk sebelah bapa dan ke atas;
[Mas. Akta A902:s.3]

“wali Raja” ertinya wali yang ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, dalam hal Wilayah-Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, atau oleh Raja, dalam hal sesuatu Negeri lain, untuk mengahwinkan perempuan tidak mempunyai wali dari nasab;
[Pin. Akta A828:s.3]

“Wilayah Persekutuan” * ertinya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya atau Labuan, mengikut mana-mana yang dikehendaki;
[Mas. Akta A828:s.3], [Pin. P.U.(A)247/2002;s.4]

“Wilayah-Wilayah Persekutuan” ertinya Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,Putrajaya dan Labuan.
[Mas. Akta A828:s.3], [Mas. P.U.(A)247/2002;s.4].

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Akta ini dan yang tidak ditakrifkan dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] hendaklah mempunyai erti yang diberi kepadanya masing-masing oleh Akta itu.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Akta ini yang disenaraikan dalam Jadual, rujukan bolehlah dibuat kepada bentuk skrip bahasa Arab bagi perkataan dan ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.

(4) Yang di-Pertuan Agong boleh dari semasa ke semasa meminda, memotong daripada, atau menambah kepada, Jadual itu.



Copyright © 2006 PNMB-LawNet. All rights reserved.