AKTA 560
AKTA TATACARA JENAYAH SYARIAH (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1997

BAHAGIAN I - PERMULAAN




Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"aduan" ertinya pengataan yang dibuat secara lisan atau bertulis kepada Hakim bahawa seseorang sama ada diketahui atau tak diketahui telah melakukan atau bersalah atas suatu kesalahan, dengan tujuan supaya tindakan diambil oleh Hakim itu di bawah Akta ini;

"Akta Pentadbiran" ertinya Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505];

"Enakmen" ertinya Enakmen Pentadbiran Hukum Syara' 1952 [En. Sel. 3/52] bagi Negeri Selangor---
[Pin. P.U.(A) 248/2002]
[Pin. P.U.(A) 248/2002]
[Mas. P.U.(A) 248/2002; Pin. Akta A1252:s.2]

"Hakim" ertinya seseorang Hakim yang dilantik di bawah subseksyen 43(1) atau 44(1) Akta Pentadbiran;

“Hukum Syarak” ertinya Hukum Syarak mengikut Mazhab Shafie, atau mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanafi atau Hanbali;
[Pin. Akta A1252:s.3]

"kesalahan" ertinya apa-apa perbuatan atau peninggalan yang dijadikan boleh dihukum oleh mana-mana undang-undang bertulis yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam dan yang atasnya Mahkamah mempunyai bidang kuasa;

"kesalahan boleh tangkap " ertinya sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh satu tahun atau lebih yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis boleh menangkap tanpa waran;

"kesalahan tak boleh tangkap" ertinya sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh kurang daripada satu tahun atau dengan denda sahaja yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis tidak boleh menangkap tanpa waran;

"Ketua Hakim Syarie" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Pentadbiran;

"Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama" dan "Pegawai Penguatkuasa Agama" mempunyai erti masing-masing yang diberikan kepadanya dalam Akta Pentadbiran;

"Ketua Pendakwa Syarie" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Pentadbiran;

"Mahkamah" atau "Mahkamah Syariah" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Pentadbiran;

"Majlis" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Pentadbiran;

"Mufti" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Pentadbiran;

"Pegawai Masjid" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Pentadbiran;

"Peguam Syarie" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Pentadbiran;

"Pendaftar" ertinya Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, atau Penolong-Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah Akta Pentadbiran;

"Pendakwa" ertinya Ketua Pendakwa Syarie atau Pendakwa Syarie;

"Pendakwa Syarie" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Pentadbiran;

"Pengerusi" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Pentadbiran;

"pesalah muda" ertinya seseorang pesalah yang berumur lebih daripada sepuluh tahun dan kurang daripada enam belas tahun;

"saksi" tidaklah termasuk seseorang tertuduh;

"Wilayah-Wilayah Persekutuan" ertinya Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan;
[Pin. P.U.(A) 248/2002]

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Akta ini dan tidak ditakrifkan dalam Akta ini tetapi ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya setakat yang pengertian itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau tafsiran perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Akta ini yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan dan ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.
[Gan. Akta A1252:s.2]


Copyright © 2006 PNMB-LawNet. All rights reserved.