AKTA 303 AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984
BAHAGIAN VII - JAGAAN Hadhanah atau Jagaan Kanak-kanak
Seksyen 83. Bagaimana hak jagaan hilang
Hak seseorang perempuan terhadap hadhanah adalah hilang—
(a) jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika jagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk jagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan;
[Gan. Akta A902:s.28]
(b) jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
(c) jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;
(d) jika perempuan itu murtad;
(e) jika perempuan itu mengabaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.