AKTA 505 AKTA PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1993
BAHAGIAN III - PERLANTIKAN MUFTI, KUASA DALAM HAL EHWAL AGAMA DAN JAWATANKUASA PERUNDINGAN HUKUM SYARAK
Seksyen 37. Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak.
(1) Maka hendaklah ada suatu jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak.
(2) Jawatankuasa hendaklah terdiri daripada--
(a) Mufti, sebagai Pengerusi;
(b) Timbalan Mufti;
(c) dua orang anggota Majlis yang dinamakan oleh Majlis;
(d) tidak kurang daripada dua orang, yang layak dan sesuai, yang dilantik oleh Majlis; dan
(e) seorang pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan yang dilantik oleh Majlis, yang hendaklah menjadi Setiausaha.
(3) Orang-orang yang, sebelum sahaja mula berkuatkuasanya seksyen ini, telah dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Undang-Undang Ugama yang ditubuhkan di bawah seksyen 40 Enakmen hendaklah, tertakluk kepada Akta ini, disifatkan telah dinamakan atau dilantik menjadi anggota Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak dan hendaklah terus menjadi anggota sehingga habis tempoh perlantikan mereka sekarang.
(4) Daripada orang-orang yang disebut dalam subseksyen (3), dua orang yang adalah anggota Majlis hendaklah disifatkan telah dinamakan di bawah perenggan (c) subseksyen (2) dan yang lainnya hendaklah disifatkan telah dilantik di bawah perenggan (d) subseksyen itu.
(5) Bilamana Mufti bercadang hendak membuat fatwa di bawah seksyen 34 dia hendaklah memanggil suatu mesyuarat Jawatankuasa bagi maksud membincangkan fatwa yang dicadangkan itu.
(6) Sebelum Mufti membuat fatwa, dia boleh menyebabkan kajian-kajian atau penyelidikan dijalankan sebagaimana yang diarahkan olehnya dan kertas kerja disediakan.