AKTA 561 AKTA KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1997
BAHAGIAN I - KERELEVANAN BAB 2 - QARINAH Iqrar
Seksyen 18. Kebolehterimaan iqrar.
(1) Iqrar yang berikut tidak boleh diterima:
(a) iqrar seseorang yang tidak 'aqil baligh;
(b) tertakluk kepada subseksyen (2), iqrar orang belum dewasa;
(c) iqrar orang gila atau orang terencat akal (ma'tuh);
(d) iqrar wali atau penjaga yang dibuat bagi pihak seseorang yang di bawah jagaan atau tanggungjawabnya;
(e) iqrar yang tidak dibuat secara sukarela; atau
(f) iqrar seseorang yang dihalang di bawah mana-mana undang-undang bertulis untuk mentadbirkan hartanya (Mahjur 'alaih).
(2) Iqrar yang dibuat oleh seseorang orang belum dewasa yang mumayyiz yang telah dibenarkan oleh wali atau penjaganya untuk menjalankan apa-apa perniagaan atau urusan boleh diterima setakat yang iqrar itu adalah berhubungan dengan perniagaan atau urusan itu.
(3) Pihak yang mendapat faedah daripada sesuatu iqrar tidaklah semestinya seorang yang 'aqil baligh.
Huraian- Jika orang yang membuat iqrar menyatakan bahawa barang atau harta adalah bagi faedah orang belum dewasa yang belum mumayyiz, iqrarnya boleh diterima dan orang yang membuat iqrar itu adalah terikat dengan pernyataannya.