ENAKMEN 6 TAHUN 2000
ENAKMEN PENGAWALAN SEKOLAH-SEKOLAH AGAMA ISLAM (PINDAAN) 2000



Seksyen 5. Seksyen baru 25A, 25B, 25C, dan 25D.

Enakmen ibu adalah dipinda dengan memasukkan selepas seksyen 25 seksyen-seksyen berikut-

"Seksyen 25A. Kuasa menyita.

(1) Pendaftar, Timbalan Pendaftar, Nazir Sekolah Islam, atau mana-mana orang yang diberikuasa dengan sewajarnya secara bertulis oleh Majlis, boleh menyita apa-apa dokumen atau benda yang semunasabahnya dipercayai olehnya sebagai mempunyai kaitan dengan, atau dapat memberikan keterangan tentang, perlakuan sesuatu kesalahan di bawah Enakmen ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya.

(2) Pendaftar, Timbalan Pendaftar, Nazir Sekolah Islam atau mana-mana orang yang diberikuasa dengan sewajarnya secara bertulis oleh Majlis yang menyita apa-apa dokumen atau benda di mana-mana Sekolah Islam di bawah subseksyen (1) hendaklah menyediakan suatu senarai dokumen atau benda yang disita dan dengan segera menyerahkan sesalinan yang ditandatangani olehnya kepada penghuni atau tuan punya Sekolah Islam atau pengkhidmat atau ejen penghuni atau tuan punya Sekolah Islam itu.

Seksyen 25B. Pelucuthakkan

Semua dokumen atau benda yang disita di bawah Enakmen ini boleh dilucuthakkan.

Seksyen 25C. Kuasa menutup

Pendaftar boleh, tanpa menjejaskan perjalanan selanjutnya kuasa yang diberikan kepadanya di bawah Enakmen ini, dengan serta-merta mengambil langkah-langkah yang difikirkannya perlu untuk menutup mana-mana Sekolah Islam yang dia berpuas hati telah ditubuhkan, diuruskan atau dikendalikan dengan melanggar mana-mana peruntukan Enakmen ini atau mana-mana kaedah yang dibuat dibawahnya.

Seksyen 25D. Kuasa Ketua Pendakwa Syarie tidak disentuh.

Tiada apa-apa jua dalam Bahagian ini boleh disifatkan sebagai menyentuh kuasa-kuasa Ketua Pendakwa Syarie di bawah Enakmen Prosedur Jenayah Syariah [En. 3/92].".

Diluluskan pada 2 November 2000.

SHAARI BIN SHARIMAN,
Setiausaha,
Dewan Undangan Negeri,
Negeri sembilan



Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.