ENAKMEN 2 TAHUN 1990
ENAKMEN UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (PINDAAN) 1989



Seksyen 3. Fasal baru 29A, 29B dan 29C

Enakmen Ibu adalah dipinda dengan memasukkan selepas fasal 29, fasal-fasal berikut-

"Seksyen 29A. Perlantikan Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah dan Pegawai-pegawai Penguatkuasa Syariah.

Majlis boleh melantik Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis sebagai Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah dan beberapa orang Pegawai-pegawai lain di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis sebagai Pegawai-pegawai Penguatkuasa Syariah untuk menjalankan penyiasatan di bawah undang-undang ini.

Seksyen 29B. Kuasa untuk menghendaki kehadiran saksi-saksi

(1) Pegawai Penguatkuasa Syariah yang membuat penyiasatan di bawah Undang-undang ini, boleh dengan perintah bertulis menghendaki kehadiran di hadapannya mana-mana orang yang ternyata kepada pegawai itu sebagai mengetahui akan keadaan kes itu, dan orang itu hendaklah hadir sebagaimana dikehendaki:

Dengan syarat bahawa tidaklah boleh seseorang itu membuat perjalanan lebih daripada tujuh batu dari tempat kediamannya yang biasa tidak termasuk apa-apa bahagian perjalanan yang boleh dibuat dengan keretapi atau motokar atau kenderaan lain.

(2) Jika mana-mana orang yang tertakluk kepada perintah di bawah ceraian (1) gagal hadir sebagaimana yang dikehendaki oleh perintah itu, Pegawai Penguatkuasa Syariah itu boleh melaporkan kegagalan itu kepada Kadi yang boleh setelah itu mengeluarkan waran untuk mendapatkah kehadiran orang itu sebagaimana yang dikehendaki oleh perintah itu.

Seksyen 29C. Pemeriksaan saksi-saksi

(1) Seseorang pegawai Penguatkuasa Syariah yang membuat penyiasatan di bawah Enakmen ini, boleh memeriksa secara lisan mana-mana orang yang dianggap mengetahui akan fakta-fakta dan keadaan kes itu dan hendaklah menuliskan apa-apa pernyataan yang dibuat oleh orang yang diperiksa itu.

(2) Orang itu diwajibkan menjawab semua soalan mengenai kes itu yang dikemukakan kepadanya oleh Pegawai Penguatkuasa Syariah itu:

Dengan syarat orang tersebut boleh enggan menjawab mana-mana soalan yang mana jawapannya berkemungkinan akan mendedahkannya kepada sesuatu tuduhan jenayah atau hukuman atau rampasan.


(3) Seseorang yang membuat pernyataan di bawah fasal ini wajib di sisi undang-undang menyatakan yang benar, tidak kira sama ada pernyataan itu dibuat keseluruhannya atau sebahagiannya pada menjawab soalan-soalan.

(4) Pegawai Penguatkuasa Syariah yang memeriksa seseorang di bawah ceraian (1) hendaklah pada mulanya memberitahu orang itu akan peruntukan-peruntukan ceraian (2) dan (3).

(5) Sesuatu pernyataan yang dibuat oleh mana-mana orang di bawah fasal ini hendaklah, seberapa boleh, dituliskan dan, setelah ianya dibaca kepada orang itu dalam bahasa yang digunakan untuk membuatnya dan dia telah diberi peluang untuk membuat apa-apa pembetulan yang dia mahu, hendaklah ditandatangani olehnya atau dilekatkan dengan cap jarinya".



Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.