ENAKMEN 2 TAHUN 2000 ENAKMEN PENTADBIRAN MAHKAMAH SYARIAH 1991 (PINDAAN) 1996
Seksyen 3. Pindaan seksyen 6.
Seksyen 6 Enakmen adalah dipinda-
(a) dengan menggantikan sub-seksyen (1) dengan sub-seksyen berikut:
Perlantikan Ketua Hakim Syarie.
"(1) Raja Pemerintah atas nasihat Majlis hendaklah melantik seorang Ketua Hakim Syarie.
(1A) Seseorang itu layak dilantik di bawah sub-seksyen (1) jika:
(a) dia seorang warganegara; dan
(b) dia telah memegang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Kadi atau Pendaftar atau Pendakwa Syarie sesuatu Negeri atau pada sesuatu masa memegang mana-mana satu daripada jawatan itu dan pada masa yang lain memegang mana-mana yang lain pula selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun sebelum perlantikannya dan arif tentang Hukum Syarak."
(b) dengan menggantikan sub-seksyen (2) dengan sub-seksyen berikut:
"(2) Orang yang sebelum mula berkuatkuasa seksyen ini memegang jawatan Kadi Besar di bawah sub-seksyen (1) seksyen 6 Enakmen dan melaksanakan fungsi-fungsi kehakiman hendaklah apabila mula berkuatkuasanya seksyen ini, terus memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Syarie seolah-olah dia telah dilantik di bawah sub-sekyen (1).
(2A) Semua perlantikan di bawah seksyen ini hendaklah disiarkan dalam Warta"; dan
(c) dengan menggantikan perkataan-perkataan "Kadi Besar" di mana-mana jua ia terdapat dalam Enakmen (1991) dengan perkataan-perkataan "Ketua Hakim Syarie".