ENAKMEN 8 TAHUN 1995
ENAKMEN PENTADBIRAN PERUNDANGAN ISLAM (PINDAAN) 1995
Seksyen 3. Seksyen baru 4A dan 4B
Enakmen ibu adalah dipinda dengan memasukkan selepas seksyen 4 seksyen yang berikut:
"Seksyen 4A. Fungsi ekonomi dan sosial Majlis.
Adalah menjadi kewajipan Majlis untuk menggalakkan, merangsangkan, dan memudahkan pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di Negeri Selangor.
Seksyen 4B. Kuasa-kuasa tambahan Majlis.
(1) Bagi maksud menunaikan kewajipannya di bawah Enakmen ini, khususnya di bawah seksyen 4A, Majlis hendaklah mempunyai kuasa-
(a) untuk menjalankan segala aktiviti, termasuk aktiviti perdagangan dan perindustrian, yang pada pendapat Majlis adalah perlu, berfaedah atau sesuai untuk atau berkaitan dengan kewajipan itu;
(b) untuk menubuhkan syarikat dengan apa-apa nama yang difikirkan sesuai oleh Majlis;
(c) untuk menggalakkan penjalanan mana-mana aktiviti sedemikian oleh mana-mana badan atau orang lain dan bagi maksud itu memberikan bantuan kepada badan atau orang itu, termasuk bantuan kewangan dengan cara melanggani modal syer atau pinjaman atau memberikan pinjaman atau selainnya;
(d) untuk menjalankan mana-mana aktiviti sedemikian bersama-sama dengan mana-mana badan atau orang lain (termasuk mana-mana Jabatan atau pihak berkuasa Kerajaan Negeri Selangor) atau sebagai ejen, pengurus atau selainnya bagi pihak badan atau orang itu;
(e) untuk membeli, menaja jamin atau selainnya memperoleh apa-apa saham atau syer dalam mana-mana syarikat, sama ada syarikat awam atau persendirian, dan melupuskannya atas apa-apa terma atau syarat yang ditentukan oleh Majlis;
(f) untuk menubuhkan dan menyenggara institusi latihan; dan
(g) untuk melakukan segala perbuatan lain yang pada pendapat Majlis adalah wajar atau suaimanfaat.
(2) Seksyen 4A dan seksyen ini hendaklah disifatkan telah mula berkuatkuasa pada tarikh Enakmen ini mula berkuatkuasa dan hendaklah disifatkan telah menjadi suatu bahagian integral Enakmen ini mulai dari tarikh itu dan-
(a) apa-apa jua yang telah dilakukan oleh Majlis sebelum tarikh seksyen ini mula berkuatkuasa hendaklah, jika boleh dibuat dengan sah oleh Majlis sekiranya seksyen ini telah berkuatkuasa, disifatkan telah dilakukan dengan sah oleh Majlis di bawah seksyen ini; dan
(b) mana-mana syarikat yang telah ditubuhkan oleh Majlis sebelum tarikh seksyen ini mula berkuatkuasa hendaklah disifatkan telah ditubuhkan dengan sah dan mengikut peruntukan seksyen ini.".
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.