ENAKMEN 2 TAHUN 2000 ENAKMEN PENTADBIRAN MAHKAMAH SYARIAH 1991 (PINDAAN) 1996
Seksyen 4. [Tiada Tajuk]
Enakmen adalah dipinda dengan memasukkan selepas seksyen 6, seksyen-seksyen yang berikut-
"Seksyen 6A. Perlantikan Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah.
(1) Raja pemerintah atas nasihat Majlis hendaklah melantik selama tempoh tidak melebihi tiga tahun, tidak lebih daripada tujuh orang ahli Majlis untuk menubuhkan suatu panel tetap hakim dan Ketua Hakim Syarie hendaklah memilih dua orang dari kalangan mereka untuk membentuk korum hakim dalam Mahkamah Rayuan Syariah berkenaan tiap-tiap pendengaran.
(2) Nama ketujuh-tujuh anggota itu hendaklah disiarkan dalam Warta."
(3) Semua perkataan-perkataan "Jawatankuasa Ulang Bicara" di mana-mana jua ia terdapat di dalam Enakmen (1991) digantikan dengan perkataan-perkataan "Mahkamah Rayuan Syariah".
"Seksyen 6B. Perlantikan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.
(1) Raja Pemerintah hendaklah di atas nasihat Majlis melantik Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.
(2) Sebelum memberi nasihat di atas perlantikan Hakim-Hakim tersebut selain daripada perlantikan Ketua Hakim Syarie, Majlis hendaklah merujuk dengan Ketua Hakim Syarie
(3) Seseorang itu layak dilantik di bawah sub-seksyen (1) jika:
(a) dia seorang warganegara; dan
(b) dia selama tempoh tidak kurang daripada sepuluh tahun sebelum perlantikannya telah memegang jawatan Hakim Mahkamah Rendah Syariah atau Kadi atau Pendaftar atau Pendakwa Syarie sesuatu Negeri atau pada sesuatu masa memegang mana-mana satu daripada jawatan itu dan pada masa yang lain memegang mana-mana yang lain pula serta arif tentang Hukum Syarak.
(4) Orang-orang yang sebelum sahaja mula berkuatkuasa seksyen ini memegang jawatan kadi di bawah sub-seksyen (1) seksyen 6 Enakmen dan melaksanakan fungsi-fungsi kehakiman hendaklah apabila mula berkuatkuasa seksyen ini, terus memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah TInggi Syariah seolah-olah mereka telah dilantik di bawah sub-seksyen (1).
(5) Semua perlantikan di bawah seksyen ini hendaklah disiarkan dalam Warta."
(6) Semua perkataan"Kadi" di mana-mana jua ia terdapat dalam Enakmen (1991) digantikan dengan perkataan-perkataan "Hakim Mahkamah Tinggi Syariah".
"Seksyen 6C.
(1) Tertakluk kepada peruntukan sub-seksyen (2), (3), (4) dan (5), seseorang Hakim Syarie hendaklah memegang jawatan sehingga dia mencapai umur enam puluh tahun atau sehingga suatu masa kemudiannya sebagaimana diluluskan oleh Raja Pemerintah, tetapi masa itu tidak boleh terkemudian daripada enam bulan selepas dia mencapai umur enam puluh tahun.
(2) Seorang Hakim Syarie boleh meletakkan jawatannya pada bila-bila masa dengan mengutuskan surat yang ditandatangani kepada Raja Pemerintah tetapi dia tidak boleh dipecat daripada jawatan kecuali mengikut peruntukan seksyen ini yang berikut.
(3) Jika, Ketua Hakim Syarie merayu kepada Raja Pemerintah menyatakan bahawa seorang Hakim Syarie patut dipecat kerana:
(a) kelakuannya tidak baik; atau
(b) dia tidak berupaya oleh kerana kelemahan tubuh atau otak atau apa-apa sebab lain menyempurnakan tugas dengan sepatutnya;
Raja Pemerintah hendaklah melantik suatu tribunal mengikut sub-seksyen (4) dan merujuk rayuan itu kepadanya;
dan atas syor tribunal itu Raja Pemerintah boleh memecat Hakim Syarie itu daripada jawatannya.
(4) Tribnunal tersebut hendaklah mengandungi tidak kurang daripada 5 orang yang beragama Islam yang memegang atau telah memegang jawatan sebagai Hakim Syarie atau Hakim Mahkamah Awam di Malaysia, dan tribunal itu hendaklah diketuai oleh ahli yang pertama mengikut susunan yang berikut iaitu Ketua Hakim Syarie, Hakim Mahkamah Rayuan Syarie mengikut keutamaan yang mereka sendiri dan ahli-ahli lain mengikut tarikh perlantikan mereka bagi jawatan yang melayakkkan mereka menjadi ahli.
(5) Sementara menantikan apa-apa rujukan dalam laporan di bawah sub-seksyen (3) Raja Pemerintah boleh atas nasihat Ketua Hakim Syarie menggantung seorang Hakim Syarie daripada menjalankan tugasnya.
(6) Tertakluk kepada peruntukan seksyen ini Raja Pemerintah boleh membuat peraturan bagi memperuntukkan syarat jawatan, perletakan dan perlucutan jawatan Hakim Syarie.
(7) Walau apapun peruntukan sub-seksyen (1), sahnya apa-apa perkara yang dilakukan oleh seseorang Hakim Syarie tidak boleh dipersoal atas alasan bahawa Hakim Syarie itu telah mencapai had umur yang dia dikehendaki bersara.
(8) Peruntukan seksyen ini hendaklah dipakai ke atas Ketua Hakim Syarie dan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syarie.
"Seksyen 6D. Perlantikan Hakim Mahkamah Rendah Syariah.
(1) Raja Pemerintah di atas nasihat Majlis hendaklah melantik Hakim-Hakim Mahkamah Rendah Syariah.
(2) Tiada seorang pun boleh dilantik menjadi Hakim Mahkamah Rendah Syariah kecuali dia adalah seorang anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Syariah atau Perkhidmatan Awam.
(3) Semua perlantikan di bawah sub-seksyen (1) hendaklah di Wartakan.
"Seksyen 6E. Perlantikan Pendaftar-Perdaftar dan Pendakwa-Pendakwa Syarie.
(1) Raja Pemerintah di atas nasihat Majlis hendaklah melantik:
(a) seorang Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah dan Penolong-Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah;
(b) seorang Pendakwa Syarie dan beberapa Timbalan Pendakwa Syarie.
(2) Tiada seorang pun boleh dilantik di bawah sub-seksyen (1) kecuali dia adalah seorang anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Syariah atau Perkhidmatan Awam.
(3) Perlantikan di bawah sub-seksyen (1) hendaklah ditetapkan tempohnya dan disiarkan dalam Warta.
(4) Raja Pemerintah di atas nasihat Majlis boleh dari masa ke semasa memberi, mengubah, mengurang atau membatalkan mana-mana surat perlantikan ini dibuat di bawah sub-seksyen (1) dan (2)".