ENAKMEN 2 TAHUN 2003 ENAKMEN PENGAWALAN SEKOLAH-SEKOLAH AGAMA ISLAM (PINDAAN) 2003
Seksyen 9. Seksyen baru 16A, 16B dan 16C
Enakmen ibu dipinda dengan memasukkan selepas seksyen 16 seksyen yang berikut:
“Seksyen 16A. Larangan tentang pengiklanan, dan sebagainya.
(1) Tiada seorang pun boleh mempromosikan sesuatu Sekolah Islam sama ada melalui iklan, prospektus, risalah atau selainnya melainkan jika Sekolah Islam itu telah didaftarkan di bawah seksyen 13.
(2) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 16B. Larangan menukar alamat premis Sekolah Islam.
(1) Tiada suatu Sekolah Islam pun boleh menukar alamat premisnya atau membuat apa-apa perubahan kepada premis itu tanpa terlebih dahulu mendapatkan kelulusan Pendaftar.
(2) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan.
Seksyen 16C. Kuasa Majlis membatalkan pendaftaran.
Walau apa pun peruntukan di dalam Enakmen ini, Majlis boleh membatal pendaftaran sesuatu Sekolah Islam.”.