ENAKMEN 7 TAHUN 2001
ENAKMEN PENGAWALAN SEKOLAH-SEKOLAH AGAMA ISLAM (PINDAAN) 2001



Seksyen 6. Pindaan seksyen 25.

Enakmen ibu adalah dipinda dengan menggantikan seksyen 25 dengan seksyen yang berikut:

"Seksyen 25. Kuasa untuk memasuki premis, dsb.

(1) Pendaftar, Timbalan Pendaftar, Nazir Sekolah Islam atau mana-mana orang yang diberi kuasa secara bertulis oleh Majlis boleh pada setiap masa yang munasabah, masuk ke dalam mana-mana premis Sekolah Islam bagi maksud menjalankan mana-mana kuasa pemeriksaan, penyiasatan atau selainnya memastikan yang sekolah itu ditadbirkan dengan sepatutnya.

(2) Jika Pendaftar, Timbalan Pendaftar, Nazir Sekolah Islam atau mana-mana orang yang diberi kuasa secara bertulis oleh Majlis Agama, mempunyai sebab yang munasabah untuk mempercayai bahawa mana-mana rumah, bangunan atau tempat lain yang sedang digunakan sebagai Sekolah Islam yang tidak berdaftar di bawah Enakmen ini atau sedang digunakan dengan melanggar mana-mana syarat yang dikenakan di bawah Enakmen ini, maka Pendaftar, Timbalan Pendaftar, Nazir Sekolah Islam atau mana-mana orang yang diberi kuasa secara bertulis oleh Majlis Agama dengan disertai oleh mana-mana yang difikirkannya sesuai boleh, tanpa menjejaskan perjalanan kuasa yang diberikan kepadanya di bawah Enakmen ini, dengan segera mengambil apa-apa langkah yang difikirkannya perlu atau dengan apa-apa cara menutup Sekolah Islam itu.

(3) Apa-apa tindakan yang diambil di bawah seksyen kecil (2) berkenaan dengan mana-mana rumah, bangunan atau tempat lain tidaklah menghalang Pendaftar daripada mendakwa mana-mana orang yang menggunakan rumah, bangunan atau tempat itu sebagai Sekolah Agama yang tidak berdaftar di bawah Enakmen ini.”.

Diluluskan pada 31 Julai 2001.
[P.U. Sel. AGM 0010; DUN. Sel. 30287/1 Jld. 3.]

BAKHTIAR BIN HUSSIN,
Setiausaha,
Dewan Undangan Negeri,
Selangor



Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.