ENAKMEN 7 TAHUN 2001
ENAKMEN PENGAWALAN SEKOLAH-SEKOLAH AGAMA ISLAM (PINDAAN) 2001



Seksyen 3. Pindaan seksyen 13.

Enakmen ibu adalah dipinda dengan menggantikan seksyen 13 dengan seksyen yang berikut:

"Seksyen 13. Permohonan untuk Pendaftaran.

(1) Mana-mana orang yang hendak mendirikan Sekolah Islam hendaklah memohon untuk pendaftaran, dalam borang yang ditetapkan, kepada Pendaftar dan hendaklah juga mengemukakan kepada Pendaftar suratcara yang dicadangkan bagi Jemaah Sekolah itu.

(2) Apabila menerima suatu permohonan, Pendaftar hendaklah menimbang dan menyiasat permohonan itu dan sama ada meluluskan atau menolak permohonan itu.

(3) Sementara menanti selesainya penyiasatan tentang permohonan yang dibuat di bawah seksyen kecil (1), Pendaftar boleh, dengan budibicaranya, mengeluarkan Perakuan Pendaftaran Sementara dalam bentuk dan tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkan patut.

(4) Jika kelulusan telah diberikan, Pendaftar hendaklah segera mendaftarkan suratcara dan Jemaah Sekolah Islam itu dan mengeluarkan Perakuan Pendaftaran bagi sekolah itu dengan apa-apa syarat yang difikirkannya perlu.

(5) Pengerusi Jemaah Pengurusan atau mana-mana orang lain yang bertanggungjawab ke atas pengurusan sesuatu Sekolah Islam hendaklah menyediakan sesalinan Perakuan Pendaftaran yang dikeluarkan di bawah seksyen kecil (4) dan hendaklah sentiasa dipamerkan di suatu tempat yang ketara di premis Sekolah Islam itu.

(6) Jika suatu sekolah Islam ditubuhkan oleh sesuatu masjid, surau atau dibina di premis atau di tapak yang dimiliki oleh masjid atau surau, pengerusi sekolah hendaklah Nazir atau pengerusi masjid atau surau berkenaan dan, pendaftaran hendaklah dibuat di atas nama jawatan nazir atau pengerusi masjid atau surau itu.”.



Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.