ENAKMEN 2 TAHUN 2000 ENAKMEN PENTADBIRAN MAHKAMAH SYARIAH 1991 (PINDAAN) 1996
Seksyen 7. [Tiada Tajuk]
Enakmen adalah dipinda dengan memasukkan selepas seksyen 9 seksyen yang berikut-
"Seksyen 9A. Rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah.
(1) Suatu rayuan hendaklah ditujukan kepada Mahkamah Tinggi Syariah dari keputusan Mahkamah Rendah Syariah:
(a) dalam bidang kuasa jenayah oleh pendakwa atau oleh orang yang telah sabit kesalahan dan rayuan ini bolehlah terhadap pembebasan, sabitan atau hukuman atau mana-mana satu daripada yang daripadanya;
(b) dalam bidang kuasa malnya:
(i) oleh mana-mana orang yang terkilan oleh keputusan itu, jika amaun yang dituntut itu tidak kurang daripada Ringgit Malaysia satu ribu;
(ii) dalam semua kes yang melibatkan mana-mana keputusan mengenai status peribadi oleh mana-mana orang yang terkilan oleh keputusan itu;
(iii) dalam semua kes yang berkaitan dengan nafkah orang-orang tanggungan oleh mana-mana orang yang terkilan oleh keputusan itu,
tetapi tiada rayuan boleh dibuat terhadap keputusan yang telah dibuat dengan persetujuan; dan
(c) dalam apa-apa kes lain, jika Mahkamah Tinggi Syariah memberi kebenaran membuat rayuan.
(2) Dalam mana-mana rayuan, Mahkamah Tinggi Syariah boleh:
(a) dalam perkara jenayah menolak rayuan, mensabitkan dan menghukum pihak yang merayu, memerintah Mahkamah yang membicarakan kes itu memanggil pembelaan atau membuat siasatan lanjut, menambah atau meminda bentuk hukuman itu, memerintahkan perbicaraan semula, atau meminda atau membatalkan sebarang perintah oleh Mahkamah yang membicarakan kes itu;
(b) dalam perkara mal mengesahkan, membatalkan atau mengubah keputusan Mahkamah yang membicarakan kes itu, menjalankan mana-mana kuasa tersebut sebagaimana Mahkamah yang membicarakan , membuat perintah sebagaimana Mahkamah yang membicarakan sepatutnya membuatnya, atau memerintahkan perbicaraan semula.
Seksyen 9B. Permohonan untuk kebenaran merayu.
(1) Suatu rayuan atau permohonan untuk kebenaran merayu di bawah seksyen 9A (1) (c) hendaklah dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah mengikut cara yang ditetapkan, dalam tempoh empat belas hari daripada tarikh hukuman, perintah atau keputusan yang berhubung dengan permohonan itu dibuat.
(2) Mahkamah Tinggi Syariah semasa mendengar mana-mana permohonan bagi kebenaran untuk merayu boleh atas alasan yang tertentu melanjutkan masa untuk merayu, walaupun masanya telah tamat.
Seksyen 9C. Bidang kuasa pengawasan dan penyemakan.
(1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas semua Mahkamah Rendah Syariah dan boleh, jika perlu demi kepentingan keadilan, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding sama ada mal atau jenayah dalam mana-mana Mahkamah Rendah Syariah memanggil dan memeriksa mana-mana rekod mengenainya dan boleh menjalankan mana-mana kuasa di bawah seksyen 9A (2) atau apa-apa arahan yang perlu demi keadilan.
(2) Apabila Mahkamah Tinggi Syariah memanggil rekod di bawah sub-seksyen (1), semua prosiding dalam Mahkamah Rendah Syariah mengenai perkara atau prosiding yang berkenaan itu hendaklah digantung sementara menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Tinggi Syariah".