ENAKMEN 8 TAHUN 1992
ENAKMEN PENTADBIRAN MAHKAMAH SYARIAH (PINDAAN) 1992
Seksyen 4. Seksyen Baru 19 dan 19A
Enakmen ibu adalah dipinda dengan menggantikan seksyen 19 dengan seksyen baru 19 dan 19A yang berikut:
"Seksyen 19. Jawatankuasa Peguam Syarie.
(1) Maka hendaklah ditubuhkan suatu jawatankuasa yang hendaklah dikenali sebagai Jawatankuasa Peguam Syarie
(2) Jawatankuasa Peguam Syarie hendaklah terdiri daripada-
(a) Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, sebagai Pengerusi;
(b) Pendakwa Syarie;
(c) seorang Peguam Syarie sebagai wakil Peguam Syarie; dan
(d) dua orang ahli lain yang berkemahiran dalam Hukum Syarak.
(3) Pendaftar Mahkamah Syariah hendaklah menjadi Setiausaha Jawatankuasa Peguam Syarie.
(4) Fungsi-fungsi Jawatankuasa Peguam Syarie adalah-
(a) untuk meluluskan atau menolak permohonan bagi perlantikan sebagai Peguam Syarie;
(b) mengadakan dan menyelenggarakan suatu Daftar yang mengandungi nama dan butir-butir lain orang-orang yang dilantik sebagai Peguam Syarie;
(c) untuk menjalankan kawalan tatatertib ke atas Peguam Syarie; dan
(d) untuk menjalankan apa-apa fungsi lain yang ditetapkan di bawah Enakmen ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya.
(5) Ahli-ahli yang dilantik di bawah perenggan (c) dan (d) subseksyen (2) hendaklah dilantik oleh Majlis dan hendaklah, melainkan mereka meletakkan jawatan terlebih dahulu atau perlantikannya dibatalkan terlebih dahulu, memegang jawatan selama tempoh tiga tahun dan adalah layak dilantik semula.
(6) Perlantikan seseorang ahli di bawah perenggan (c) dan (d) subseksyen (2) boleh pada bila-bila masa ditamatkan oleh Majlis tanpa memberi apa-apa sebab mengenainya.
(7) Seseorang ahli Jawatankuasa Peguam Syarie boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dengan memberi notis melalui Pengerusi Jawatankuasa.
(8) Tertakluk kepada apa-apa kaedah yang dibuat di bawah Enakmen ini dan apa-apa arahan Majlis, Jawatankuasa Peguam Syarie boleh menetapkan prosedurnya sendiri.
Seksyen 19A. Peguam Syarie.
(1) Jawatankuasa Peguam Syarie boleh, atas permohonan mana-mana orang berkelayakan, melantik orang itu menjadi Peguam Syarie.
(2) Kelayakan bagi perlantikan sebagai Peguam Syarie hendaklah sebagaimana yang ditetapkan oleh kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Enakmen ini.
(3) Mana-mana orang yang dilantik sebagai Peguam Syarie di bawah seksyen ini hendaklah, apabila dibayar fee yang ditetapkan, dikeluarkan Sijil Peguam Syarie.
(4) Suatu Sijil Peguam Syarie yang dikeluarkan di bawah seksyen ini hendaklah, melainkan dibatalkan terlebih dahulu, terus berkuatkuasa selama tempoh satu tahun dari tarikh ia dikeluarkan dan boleh diperbaharui dari semasa ke semasa.
(5) Mahkamah boleh membenarkan pegawai-pegawai Kerajaan atas sifat jawatannya untuk menghadiri Mahkamah mewakili mana-mana pihak di dalam mana-mana pembicaraan.".
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.