ENAKMEN 2 TAHUN 1992
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM 1992


JADUAL KEDUA.

1. Kecualian

Tiada apa-apa jua dalam seksyen 8 boleh disifatkan sebagai membenarkan Majlis membuat perintah untuk menubuhkan apa-apa perbadanan yang mempunyai apa-apa kewajipan, kuasa atau hak yang terkeluar daripada kewajipan-kewajipan, kuasa-kuasa atau hak-hak Majlis di bawah Enakmen ini.

2. Perintah-perintah mempunyai kuatkuasa mengikat

Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Enakmen ini, apa-apa perintah yang dibuat di bawah seksyen 8 adalah mengikat perbadanan yang berkenaan dengannya ia dibuat dan hendaklah mempunyai kuatkuasa bagi segala maksud seolah-olah ia telah dikanunkan dalam Enakmen ini.

3. Pindaan dsb., perintah-perintah

Majlis boleh, dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri, pada bila-bila masa meminda, membatalkan atau menambah kepada apa-apa perintah yang dibuat berkenaan dengan mana-mana perbadanan di bawah seksyen 8.

4. Daftar perbadanan-perbadanan

Majlis hendaklah menyimpan satu daftar bagi semua perbadanan yang ditubuhkan olehnya di bawah seksyen 8 dan daftar itu berserta dengan salinan-salinan semua perintah yang dibuat di bawah seksyen itu hendaklah terbuka kepada pemeriksaan awam pada tempat atau tempat-tempat dan pada waktu-waktu sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis.

5. Penggulungan

(1) Majlis boleh, dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, mengarahkan supaya mana-mana perbadanan yang ditubuhkan olehnya hendaklah digulung dan dibubarkan.

(2) Apabila terbubarnya mana-mana perbadanan di bawah perenggan ini, aset perbadanan itu setelah dibayar segala liabiliti, hendaklah dipindahkan kepada dan diletakhak pada Majlis.

(3) Penggulungan sesuatu perbadanan di bawah perenggan ini hendaklah dijalankan mengikut cara yang ditetapkan oleh Majlis.

6. Perbadanan hendaklah menjadi pertubuhan perbadanan

Tiap-tiap perbadanan yang ditubuhkan di bawah seksyen 8 hendaklah menjadi pertubuhan perbadanan dengan nama sebagaimana yang diberikan kepadanya oleh Majlis dan hendaklah kekal turun temurun dan mempunyai meterai biasa dan boleh mendakwa dan didakwa atas nama tersebut, dan, bagi maksud memaju atau menunaikan fungsi-fungsinya, boleh membuat kontrak dan boleh memegang dan mengurusniagakan atau memperlakukan apa-apa harta alih atau tak alih dan boleh melakukan segala perkara dan benda lain yang bersampingan atau berkaitan dengan sesuatu pertubuhan perbadanan yang tidak berlawanan dengan peruntukan Enakmen ini dan tertakluk kepada sekatan sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis dalam setiap satu hal.

7. Meterai Perbadanan

(1) Tiap-tiap perbadanan hendaklah mempunyai suatu meterai perbadanan, yang hendaklah mengandungi suatu tanda sebagaimana yang diluluskan oleh perbadanan itu dengan persetujuan Majlis, dan meterai itu boleh dari semasa ke semasa dipecahkan, ditukar, diubah atau dibuat baharu oleh perbadanan itu dengan persetujuan Majlis.

(2) Sehingga suatu meterai diadakan oleh sesuatu perbadanan di bawah perenggan ini, suatu cap yang mengandungi nama perbadanan itu bolehlah digunakan sebagai meterai biasa.

(3) Meterai biasa, atau cap yang disebut dalam subperenggan (2), hendaklah berada dalam simpanan orang yang diarahkan oleh perbadanan dan hendaklah disahkan oleh orang itu; dan segala suratikatan, dokumen, dan suratcara-suratcara lain yang berupa sebagai dimeterai dengan meterai tersebut, dan yang disahkan seperti yang disebut terdahulu hendaklah, sehingga.
dibuktikan sebaliknya disifatkan sebagai telah disempurnakan dengan sahnya.

(4) Apa-apa dokumen atau suratcara yang jika disempurnakan oleh seseorang yang bukan pertubuhan perbadanan, tidak akan dikehendaki supaya dibuat di bawah rneterai, boleh dengan cara yang sama disempurnakan oleh perbadanan.

(5) Meterai tiap-tiap perbadanan hendaklah diberi pengiktirafan rasmi dan kehakiman.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.