ENAKMEN 4 TAHUN 1996
ENAKMEN ACARA JENAYAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG) 1996

BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN TAMBAHAN
BAB 6 - PELUPUSAN EXHIBIT DAN HARTA YANG MENJADI HAL PERKARA KESALAHAN



Seksyen 202. Perintah bagi pelupusan harta yang mengenainya kesalahan telah dilakukan.

(1) Mana-mana Mahkamah boleh, jika difikirkan patut, impaun mana-mana harta atau dokumen yang dikemukakan ke Mahkamah di bawah Enakmen ini.

(2) Semasa atau selepas tamatnya mana-mana perbicaraan di mana-mana Mahkamah, Mahkamah boleh membuat perintah sebagaimana yang difikirkan patut untuk penjagaan atau pelupusan mana-mana harta atau dokumen apa juapun yang dikemukakan di hadapannya atau yang berada di dalam jagaannya atau di dalam jagaan Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis atau mana-mana penjawat awam berhubung dengan apa-apa kesalahan yang telah dilakukan atau yang telah digunakan untuk pelakuan apa-apa kesalahan.

(3) Kuasa yang diberikan kepada Mahkamah di bawah subseksyen (2) hendaklah termasuk kuasa membuat perintah untuk pelucuthakan atau perampasan atau pemusnahan atau penyerahan harta itu kepada mana-mana orang, tetapi hendaklah dijalankan tertakluk kepada mana-mana peruntukan khas berhubung dengan perampasan, pelucuthakan, pemusnahan atau penyerahan yang terkandung dalam undang-undang bertulis yang di bawahnya sabitan itu telah dibuat.

(4) Mahkamah yang membuat perintah di bawah seksyen ini berhubung dengan mana-mana harta atau dokumen hendaklah mengarahkan sama ada perintah tersebut akan berkuatkuasa serta-merta atau pada mana-mana tarikh di masa depan, atau apabila berlakunya kontingensi masa depan dan hendaklah, kecuali sekiranya harta itu ialah ternakan atau harta yang mudah rosak, memasukkan dalam perintah tersebut semua arahan dan syarat yang perlu untuk menentukan bahawa harta atau dokumen itu akan dikemukakan sebagaimana dan apabila dikehendaki bagi maksud perbicaraan itu yang mana perintah itu telah dibuat semasa atau apabila perbicaraan itu tamat, atau untuk maksud mana-mana rayuan atau mana-mana prosiding jenayah yang selanjutnya berbangkit daripada perbicaraan tersebut.

(5) Dalam seksyen ini, istilah "harta" termasuklah, berkenaan dengan harta yang berhubung dengannya suatu kesalahan didapati telah dilakukan, bukan sahaja harta tersebut yang pada asalnya berada dalam milik atau di bawah pengawasan mana-mana pihak tetapi termasuklah juga mana-mana harta yang telah dikonversikan atau baginya harta itu mungkin telah dikonversikan atau ditukar, dan juga apa-apa sahaja yang diperolehi melalui konversi atau pertukaran itu, sama ada dengan serta-merta atau sebaliknya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.