ENAKMEN 8 TAHUN 1991
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI MELAKA) 1991
BAHAGIAN 1 - PERKAITAN
BAB 2 - QARINAH
Seksyen 11. Bila nyataan boleh menjadi qarinah.
Nyataan boleh menjadi qarinah:-
(a)
jika ianya tidak sesuai dengan sesuatu nyataan yang menjadi soal atau yang ada hubungan; atau
(b)
jika dengan sendirinya atau berhubung dengan nyataan lain, ianya menyebabkan kemungkinan wujudnya atau tidak wujudnya sesuatu nyataan yang menjadi soal atau yang ada hubungan.
MISALAN
(a)
Soalnya ialah sama ada A telah melakukan suatu jenayah di Kuala Lumpur pada suatu hari tertentu:
Nyataan bahawa pada hari itu A berada di Perlis adalah qarinah.
Nyataan bahawa pada waktu yang hampir jenayah itu dilakukan, A berada di tempat jauh dari tempat jenayah itu dilakukan, yang mana menjadikan tidak mungkin sekali, walaupun tidak mustahil bahawa ia telah melakukannya adalah qarinah.
(b)
Soalnya ialah sama ada A melakukan suatu jenayah:
Hal keadaan adalah sedemikian bahawa jenayah itu tentu sekali telah dilakukan oleh salah seorang dari A, B, C, dan D. Tiap-tiap nyataan yang menunjukkan bahawa jenayah itu tidak boleh dilakukan oleh sesiapa lain dan bahawa ia tidak dilakukan oleh sama ada B, C, atau D adalah qarinah.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.