ENAKMEN 13 TAHUN 1992
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM 1992

BAHAGIAN III - KEWANGAN
AMANAH KHAIRAT



Seksyen 53. Anggaran-anggaran.

(1) Setiausaha hendaklah tidak lewat dari sebulan sebelum permulaan tiap-tiap tahun kewangan, mengemukakan kepada Majlis suatu anggaran pendapatan dan perbelanjaan Kumpulan Wang (termasuk perbelanjaan modal) bagi tahun berikutan dalam bentuk dan mengandungi butir sebagai diarah oleh Majlis.

(2) Suatu salinan anggaran demikian hendaklah dihantar kepada tiap-tiap ahli Majlis tidak lewat dari empat belas hari terdahulu daripada mesyuarat di mana anggaran itu akan dikemukakan.

(3) Majlis hendaklah menyediakan dan mempersembahkan kepada Yang di-Pertua Negeri tidak lewat dari 30 haribulan November dalam setiap tahun, anggaran-anggaran kesemua pendapatan dan perbelanjaan Majlis, termasuk didalamnya anggaran-anggaran segala harta yang boleh diterima dan boleh dilupuskan dalam bentuk barang-barang, berkenaan tahun yang berikut. Yang di-Pertua Negeri, atas nasihat Menteri, boleh meluluskan anggaran-anggaran itu atau boleh mengarahkan supaya dibuat pindaan. Apabila telah diluluskan atau dipinda sedemikian, anggaran-anggaran tersebut hendaklah diterbitkan dalam Warta.

(4) Majlis boleh pada bila-bila masa mempersembahkan kepada yang di-Pertua Negeri anggaran-anggaran perbelanjaan tambahan berkenaan dengan tahun semasa, atau, pada bila-bila masa sebelum dari 31 haribulan Mac dalam mana-mana tahun, berkenaan dengan tahun yang lalu, dan ianya boleh diluluskan atau dibuat pindaan dan hendaklah diterbitkan, mengikut cara yang sama.

(5) Tiada wang boleh dibelanjakan, atau harta dilupuskan dalam bentuk barang-barang, kecuali mengikut anggaran-anggaran seperti yang disebut terdahulu itu dan atas baucar yang ditandatangani oleh Pengerusi atau Setiausaha atau mana-mana pegawai Majlis yang diberi kuasa oleh Majlis.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.