ENAKMEN 8 TAHUN 1982
ENAKMEN PENTADBIRAN UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG 1982
BAHAGIAN III - PENUBUHAN MAHKAMAH-MAHKAMAH, PERLANTIKAN PEGAWAI-PEGAWAI DAN BIDANGKUASA MEREKA
Seksyen 43. Kawasan bidangkuasa Mahkamah dan luasnya.
(1) Mahkamah Kadi Besar hendaklah berkuasa di dalam seluruh Negeri dan hendaklah diketuai oleh Kadi Besar.
(2) Tertakluk kepada syarat-syarat di dalam Enakmen ini, Mahkamah Kadi hendaklah ada bidangkuasanya dalam perkara sivil atau jenayah yang mana jenisnya adalah seperti dinyatakan selepas ini yang timbul di dalam kawasan bidangkuasa yang telah ditentukan untuknya di bawah seksyen yang terdahulu dari ini, atau, jika kawasan bidangkuasanya tiada ditentukan maka ianya yang timbul dalam Negeri.
(3) Tiap-tiap Mahkamah kadi itu boleh diketuai oleh mana-mana Kadi yang dilantik di bawah Enakmen ini.
(4) Mahkamah Kadi Besar bolehlah-
(a) dalam bidangkuasa jenayahnya membicarakan mana-mana kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam yang boleh dihukum di bawah Enakmen ini dan boleh menjatuhkan hukuman yang sepenuhnya bagi kesalahan itu;
(b) dalam bidangkuasa sivilnya, membicarakan, dan memutuskan segala tindakan dalamana semua pihaknya adalah berugama Islam, dan yang mana ada kaitan dengan-
(i) pertunangan, perkahwinan, cerai, membatalkan perkahwinan, atau perpisahan mengikut farak dengan perintah mahkamah;
(ii) memberikan harta benda, atau tuntutan di atas harta yang berbangkit daripada perkara-perkara yang tersebut di dalam pecahan kecil (1) bagi perenggan ini;
(iii) nafkah orang di bawah tanggungan, anak yang sah, penjaga kanak-kanak atau pemelihara kanak-kanak;
(iv) menentukan orang-orang yang boleh mendapatkan harta pusaka si mati dan bahagiannya mengikut Hukum Syara';
(v) pembahagian atau tuntutan di atas harta sepencarian;
(vi) wasiat atau pemberian di masa hendak mati yang dibuat oleh si mati yang berugama Islam;
(vii) pemberian-pemberian yang berkuatkuasa semasa hidup atau penyelesaian yang dibuat dengan tiada balasan wang atau yang boleh dinilaikan dengan wang oleh seorang yang berugama Islam;
(viii) wakaf atau nazar; atau
(ix) lain-lain perkara dalammana bidangkuasanya diberi oleh mana-mana undang -undang bertulis:
Dengan syarat bahawa Mahkamah Kadi Besar hendaklah tidaklah menjadi kebiasaannya membicarakan apa-apa kesalahan atau memutuskan apa-apa tindakan atau pembicaraan-pembicaraan berkenaan yang mana sesuatu Mahkamah Kadi ada bidangkuasanya.
(5) Mahkamah Kadi bolehlah -
(a) dalam bidangkuasa jenayahnya membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang boleh dihukum di bawah Enakmen ini dengan setinggi-tinggi hukuman yang tidak lebih daripada tiga bulan penjara atau denda yang tidak lebih daripada lima ratus ringgit atau kedua-duanya dan bolehlah menjatuhkan apa-apa hukuman sebagaimana yang diuntukkan itu;
(b) dalam bidangkuasa sivilnya, membicarakan dan memutuskan segala tindakan dan pembicaraan sebagimana yang telah diberi kuasa kepada Mahkamah Kadi Besar untuk membicarakan dan memutuskannya tetapi nilai tuntutan kesnya itu tidak boleh lebih daripada sepuluh ribu ringgit atau tidak boleh dinilai dengan mata wang.
(6) Keputusan Mahkamah Kadi Besar atau Kadi tiadalah boleh menyentuh apa-apa hakmilik hartabenda orang-orang yang bukan berugama Islam.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.