ENAKMEN 3 TAHUN 1992
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN 1992

BAHAGIAN V - RAYUAN DAN PENYEMAKAN
BAB XVII - RAYUAN KE MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH



Seksyen 171. Rujukan kepada Mahkamah Rayuan Syariah atas rayuan dari Mahkamah Rendah Syariah.

(1) Jika sesuatu rayuan daripada keputusan Mahkamah Rendah Syariah di dalam perkara jenayah telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah boleh atas usulnya sendiri atau atas permohonan daripada mana-mana pihak membenarkan permohonan untuk menentukan apa-apa persoalan undang-undang yang mempunyai kepentingan awam yang telah timbul dalam masa rayuan dan yang mana keputusan oleh Mahkamah Tinggi Syariah telah memberi kesan kepada perjalanan rayuan tersebut.

(2) Sesuatu permohonan untuk kebenaran di bawah seksyen ini hendaklah dibuat dalam tempoh satu bulan atau suatu masa yang lebih panjang sebagaimana Mahkamah Rayuan Syariah boleh membenarkan daripada tarikh keputusan rayuan itu yang mana ia berkaitan.

(3) Jika kebenaran telah diberikan oleh Mahkamah Rayuan Syariah di bawah seksyen ini, Mahkamah Tinggi Syariah boleh membuat apa-apa perintah sebagaimana didapati perlu untuk penangkapan, penahanan atau pelepasan atas jaminan mana-mana pihak kepada rayuan; dan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mengemukakan rekod prosiding Mahkamah Tinggi Syariah kepada Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah yang hendaklah kemudiannya menetapkan dan memberitahu kepada pihak-pihak kepada rayuan mengenai masa dan tempat untuk pendengaran perkara itu.

(4) Jika kebenaran telah diberi oleh Mahkamah Rayuan Syariah, ia hendaklah mendengar dan memutuskan persoalan yang dibenarkan dirujuk untuk keputusannya dan membuat apa-apa perintah sebagaimana Mahkamah Tinggi Syariah mungkin akan melakukan sebagaimana ia boleh menimbangkan adil untuk menyelesaikan rayuan tersebut.

(5) Bagi tujuan seksyen ini tetapi tanpa menyentuh keluasan peruntukannya apa-apa persoalan undang-undang yang mengenainya terdapat percanggahan autoriti kehakiman hendaklah dianggap sebagai suatu persoalan yang mempunyai kepentingan awam.






Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.