ENAKMEN 13 TAHUN 1992
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM 1992

BAHAGIAN III - KEWANGAN
AMANAH KHAIRAT



Seksyen 43. Penubuhan Baitumal.

(1) Suatu kumpulan wang yang dikenali sebagai "Kumpulan Wang Baitulmal" adalah dengan ini ditubuhkan. Kumpulan Wang Baitulmal itu hendaklah terdiri daripada semua wang dan harta, alih atau tak alih, yang menurut Hukum Syarak atau di bawah peruntukan-peruntukan Enakmen ini atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya terakru, atau disumbangkan oleh mana-mana orang kepada Kumpulan Wang Baitulmal.

(2) Semua wang dan harta dalam Kumpulan Wang Baitulmal hendaklah terletakhak pada Majlis yang hendaklah mentadbirkan semua wang dan harta itu mengikut kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Enakmen ini dan mana-mana undang-undang bertulis yang lain yang berkuatkuasa mengenai Baitulmal.

(3) Majlis boleh dari semasa ke semasa melaburkan mana-mana aset atau wangnya yang tidak diperlukan dengan serta-merta dalam menjalankan kewajipan-kewajipan atau bagi melaksanakan tugas-tugas Majlis, dalam sekuriti-sekuriti yang dibenarkan bagi pelaburan wang amanah oleh mana-mana undang-undang bertulis yang berkuatkuasa, dan boleh mendepositkannya dalam mana-mana bank atau bank-bank yang dilesen di bawah peruntukan-peruntukan Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 atau Akta Bank Islam 1983 atau dalam mana-mana perusahaan atau pelaburan yang diluluskan oleh Majlis:

Dengan syarat bahawa mana-mana pelaburan aset dan kumpulan-kumpulan wang yang terletakhak pada Majlis boleh dijual, dihasilkan dan dilupuskan, dan hasil-hasil daripadanya boleh dilaburkan dan semasa ke semasa dalam mana-mana pelaburan yang dibenarkan oleh mana-mana undang-undang bertulis yang berkuatkuasa bagi pelaburan kumpulan-kumpulan wang amanah.

(4) Majlis boleh, dari semasa ke semasa bagi maksud Enakmen ini, mendapatkan pinjaman-pinjaman sementara atau pinjaman jangka panjang atau overdraf dari sesuatu bank yang dilesen di bawah peruntukan-peruntukan Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 atau Akta Bank Islam 1983 atau dengan cara lain.

(5) Majlis boleh menjamin bayaran balik mana-mana wang yang dipinjam dengan menggadai janji atau menggadai mengikut undang-undang atau ekuiti, mana-mana harta yang terletakhak pada Majlis, atau apa-apa hasil yang boleh diterima oleh majlis di bawah Enakmen ini atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain.

(6) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Enakmen ini, Majlis boleh, dengan kelulusan Yang di-Pertua Negeri, membuat kaedah-kaedah bagi pemungutan, pentadbiran dan pembahagian semua harta Kumpulan Wang Baitulmal.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.