ENAKMEN 3 TAHUN 1992
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN 1992

BAHAGIAN IV - PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
BAB XI - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM BERKENAAN DENGAN PERBICARAAN



Seksyen 111. Kuasa menangguhkan perbicaraan.

(1) Jika oleh kerana seorang saksi tidak hadir atau kerana sebab-sebab lain yang munasabah, adalah menjadi perlu atau patut bagi menangguhkan pemulaan atau penundaan mana-mana perbicaraan, Mahkamah boleh dari semasa ke semasa menangguh atau menundakannya atas syarat-syarat sebagaimana yang difikirkan patut untuk suatu tempoh ia timbangkan munasabah dan boleh, dengan waran menahan orang yang dituduh itu sekiranya ia dalam tahanan:

Dengan syarat tiada Hakim boleh menahan orang yang dituduh ke dalam tahanan di bawah seksyen ini untuk tempoh melebihi tujuh hari pada satu masa:

Dengan syarat selanjutnya bahawa apabila Pegawai Perubatan Kerajaan telah memperakukan bahawa pengadu adalah tidak berupaya memberi keterangan sebelum tarikh yang tertentu orang yang dituduh itu boleh ditahan sehingga ke suatu tarikh lain walaupun tempoh tahanannya akan melebihi tujuh hari.

(2) Tiap-tiap perintah yang dibuat di bawah seksyen ini oleh Mahkamah hendaklah dengan bertulis, dan ditandatangani oleh Hakim yang menjalankan perbicaraan itu, dan hendaklah menyatakan alasan-alasannya sekali.






Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.