ENAKMEN 3 TAHUN 1994
ENAKMEN KETERANGAN (MAHKAMAH SYARIAH) 1994
BAHAGIAN II - BUKTI
BAB V - KETERANGAN DOKUMENTAR
Dokumen Awam
Seksyen 61. Pembuktian dokumen rasmi tertentu.
(1) Dokumen awam yang berikut boleh dibuktikan seperti berikut-
(a)
tindakan, perintah atau pemberitahuan Kerajaan Malaysia atau mana-mana Kerajaan Negeri dalam mana-mana jabatannya-
(i) dengan rekod jabatan-jabatan itu yang diperakui oleh ketua bagi jabatan masing-masing;
(ii) oleh seorang Menteri dalam hal Kerajaan Malaysia, dan oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri, Menteri Kerajaan Negeri (jika ada) atau Setiausaha Kerajaan dalam hal Kerajaan Negeri; atau
(iii) dengan apa-apa dokumen yang berupa sebagai dicetak dengan kuasa Kerajaan yang berkenaan itu;
(b)
prosiding Parlimen, atau mana-mana badan perundangan persekutuan yang wujud di Malaysia sebelum Parlimen atau badan perundangan mana-mana Negeri-
dengan minit mesyuarat badan itu, atau dengan Akta Parlimen, Ordinan, Enakmen atau ringkasan yang diterbitkan, atau dengan salinan yang berupa sebagai dicetak dengan kuasa Kerajaan yang berkenaan;
(c)
prosiding sesuatu badan perbandaran, lembaga bandaran atau pihakberkuasa tempatan yang lain dalam Malaysia-
dengan suatu salinan prosiding yang diperakui oleh penyimpannya yang sah di sisi undang-undang, atau dengan suatu buku bercetak yang berupa sebagai diterbitkan dengan kuasa badan itu;
(d)
tindakan Badan Eksekutif atau prosiding badan perundangan sesebuah negara asing-
dengan jurnal-jurnal yang diterbitkan dengan kuasanya atau yang biasanya diterima di dalam negara itu sebagai yang sedemikian, atau dengan suatu salinan yang diperakui yang mengandungi meterai negara itu atau meterai Rajanya, atau dengan sesuatu pengiktirafan atasnya dalam sesuatu Akta, Ordinan atau Enakmen Malaysia atau mana-mana Negeri;
(e)
dokumen awam dari apa-apa jenis lain di dalam sesebuah negara asing-
dengan naskah asalnya atau dengan suatu salinannya yang diperakui oleh penyimpannya yang sah di sisi undang-undang berserta dengan suatu perakuan yang mengandungi meterai seseorang notari awam atau pegawai konsul Malaysia yang menyatakan bahawa salinan itu adalah diperakui dengan sempurnanya oleh pegawai yang ada naskah asalnya di bawah jagaannya yang sah di sisi undang-undang dan apabila jenis dokumen itu
dibuktikan mengikut undang-undang negara asing itu.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.