ENAKMEN 8 TAHUN 2002
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH 2002

BAHAGIAN IV - MAKLUMAT KEPADA PEGAWAI PENGUATKUASA AGAMA DAN KUASA MEREKA UNTUK MENYIASAT



Seksyen 60. Pernyataan kepada Pegawai Penguatkuasa Agama tidak boleh diterima sebagai keterangan

(1) Tiada pernyataan yang dibuat oleh mana-mana orang kepada seorang Pegawai Penguatkuasa Agama dalam perjalanan sesuatu penyiasatan di bawah Bab ini boleh, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen ini, digunakan sebagai keterangan.

(2) Apabila mana-mana saksi dipanggil bagi pihak pendakwa atau pihak pembela, selain daripada tertuduh, Mahkamah hendaklah atas permintaan tertuduh atau Pendakwa Syarie merujuk kepada apa-apa pernyataan yang telah dibuat oleh saksi itu kepada seorang Pegawai Penguatkuasa Agama dalam perjalanan sesuatu penyiasatan di bawah Bab ini, dan boleh kemudiannya, jika difikirkan oleh Mahkamah suaimanfaat demi kepentingan keadilan, mengarahkan supaya tertuduh diberi suatu salinannya, dan pernyataan itu boleh digunakan untuk mencabar kebolehpercayaan saksi itu.

(3) Apabila mana-mana orang dipertuduh atas apa-apa kesalahan berhubungan dengan pernyataan palsu yang dibuat olehnya kepada seorang Pegawai Penguatkuasa Agama dalam perjalanan sesuatu penyiasatan di bawah Bab ini, maka pernyataan itu boleh digunakan sebagai keterangan dalam pendakwaan itu.




Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.