ENAKMEN 3 TAHUN 1992
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN 1992

BAHAGIAN VI - PERUNTUKAN TAMBAHAN
BAB XXVIII - DARIHAL PENGGANTUNGAN, PENGURANGAN DAN PERINGANAN HUKUMAN-HUKUMAN



Seksyen 222. Kuasa untuk menggantungkan atau mengurangkan hukuman-hukuman.

(1) Apabila mana-mana orang telah dihukum dengan hukuman bagi satu kesalahan Yang di-Pertuan Besar (bertindak mengikut peruntukan-peruntukan Fasal 45 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan) bolehlah pada bila-bila masa, tanpa syarat-syarat, atau dengan apa-apa jua syarat yang telah diterima oleh seseorang yang telah dihukum, mengampun, menggantungkan perlaksanaan hukuman atau meringankan keseluruhan atau mana-mana bahagian dari hukuman yang dia telah dihukum.

(2) Apabila satu permohonan dibuat kepada Yang di-Pertuan Besar untuk mengampun, menggantungkan atau meringankan sesuatu hukuman Yang di-Pertuan Besar bolehlah meminta Hakim yang membuat sabitan supaya menyatakan pendapatnya sama ada permohonan itu patut dibenarkan atau ditolak dan Hakim berkenaan hendaklah menyatakan pendapatnya.

(3) Jika mana-mana syarat atas mana satu hukuman telah digantungkan atau diringankan telah, pada pendapat Yang di-Pertuan Besar, yang memperkenankannya tidak dipatuhi, Yang di-Pertuan Besar bolehlah membatalkan penggantungan atau peringanan itu; orang yang hukumannya telah digantungkan atau diringankan bolehlah, jika bebas, ditangkap oleh Pegawai Penguatkuasa Agama atau mana-mana pegawai polis tanpa waran dan ditahan di penjara oleh seorang Hakim untuk menjalani bahagian hukuman yang belum selesai.

(4) Tiada apa-apa yang terkandung di sini boleh dianggap sebagai mengganggu hak Yang di-Pertuan Besar untuk memperkenankan keampunan, menggantung atau meringankan hukuman.






Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.