ENAKMEN 3 TAHUN 1987
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1987

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 55. Penyenggaraan Daftar Perceraian dan Pembubaran.


(1) Tiap-tiap Pendaftar dan juga Ketua Pendaftar hendaklah masing-masing menyenggara suatu Daftar Perceraian dan Pembatalan dan hendaklah serta-merta mencatatkan di dalamnya butir-butir yang ditetapkan mengenai semua perintah perceraian dan pembatalan yang dihantar kepadanya di bawah subseksyen (2) dan mengenai semua perintah perceraian dan pembatalan yang permohonan untuk pendaftarannya dibuat di bawah subseksyen (3).

(2) Tiap-tiap Mahkamah yang memberi dan merekodkan sesuatu perintah perceraian atau pembatalan atau yang membenar dan merekodkan sesuatu talaq atau apa-apa jua bentuk perceraian yang lain hendaklah serta merta menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(3) Jika sesuatu perkahwinan yang diakadnikahkan dalam Negeri Pahang dibubarkan atau dibatalkan dengan perintah Mahkamah yang berbidangkuasa Kompeten di luar Negeri Pahang, salah satu daripada pihak-pihak itu boleh memohon kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan perintah itu, dan Pendaftar yang berkenaan itu dan Ketua Pendaftar hendaklah mendaftarkan perintah itu apabila berpuas hati bahawa perintah itu adalah satu perintah yang patut diiktiraf sebagai sah bagi maksud undang -undang dalam Negeri Pahang.

(4) Jika sesuatu lafaz talaq di hadapan Mahkamah atau sesuatu perintah perceraian atau pembatalan, di mana jua diberi, telah membubarkan sesuatu perkahwinan yang diakadnikahkan dalam Negeri Pahang dan telah didaftarkan di bawah Enakmen ini atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berkuatkuasa sebelum Enakmen ini, Pendaftar yang berkenaan dan Ketua Pendaftar hendaklah, apabila mendaftarkan talaq atau perintah itu, mengarahkan supaya catatan mengenai perkahwinan itu dalam Daftar Perkahwinan ditandakan dengan perkataan "Dibubarkan" dan dengan rujukan mengenai prosiding dalam mana talaq itu telah dilafazkan atau perintah itu telah dibuat.

(5) Apabila mendaftarkan sesuatu talaq atau perintah perceraian atau pembatalan itu dan apabila dibayar kepadanya fee yang ditetapkan, Ketua Pendaftar hendaklah mengeluarkan surat perakuan perceraian dan pembatalan dalam borang yang ditetapkan kepada kedua-dua pihak itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.