ENAKMEN 13 TAHUN 1984
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1984

BAHAGIAN III - PENDAFTARAN PERKAHWINAN



Seksyen 26. Perlantikan Ketua Pendaftar, Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' orang Islam

(1) Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh melantik mana-mana pegawai awam yang berkelayakan untuk menjadi Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam bagi maksud-maksud Enakmen ini, yang mana adalah berkuasa menjalankan penyeliaan dan kawalan ke atas Pendaftar-Pendaftar dan pendaftaran perkahwinan, perceraian, dan ruju' di bawah Enakmen ini.

(2) Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh melantik beberapa orang yang berkelayakan sebagaimana yang perlu, untuk menjadi Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam bagi mana-mana daerah dalam Negeri Perak sebagaimana ditentukan dalam perlantikan itu.

(3) Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh melantik beberapa orang yang berkelayakan sebagaimana yang perlu, untuk menjadi Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam bagi mana-mana kawasan dalam Negeri Perak sebagaimana ditentukan perlantikan itu.

(4) Tiap-tiap Naib Kadi hendaklah kerana jawatannya menjadi Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam bagi kawasannya.

(5) Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh, melalui pemberitahu dalam Warta, melantik mana-mana anggota staff diplomatik Malaysia di mana-mana negara untuk menjadi Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam bagi maksud-maksud Enakmen ini di negara itu.

(6) Tiap-tiap orang yang dilantik atau yang disifatkan dilantik sebagai Pendaftar di bawah seksyen ini yang bukan pegawai awam hendaklah disifatkan sebagai penjawat awam bagi maksud-maksud Kanun Keseksaan [N.M.B. Bab 45].




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.