ENAKMEN 3 TAHUN 1992
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN 1992

BAHAGIAN IV - PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
BAB XI - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM BERKENAAN DENGAN PERBICARAAN



Seksyen 108. Mahkamah bolehlah mengemukakan soalan-soalan kepada orang yang dituduh.

(1) Untuk tujuan membolehkan orang yang dituduh itu menerangkan mengenai apa-apa keadaan yang nyata dalam keterangan terhadapnya, Mahkamah boleh, pada mana-mana peringkat perbicaraan itu, tanpa memberi amaran terlebih dahulu kepada orang yang dituduh, mengemukakan soalan-soalan kepadanya sebagaimana Mahkamah menimbangkan perlu.

(2) Jawapan yang diberikan oleh orang yang dituduh bolehlah diambil untuk dipertimbangkan dalam perbicaraan itu dan dikemukakan dalam keterangan bagi atau terhadapnya dalam mana-mana perbicaraan untuk mana-mana kesalahan lain yang mana jawapan sedemikian boleh menunjukkan ia telah melakukannya.

(3) Pemeriksaan orang yang dituduh itu hendaklah bertujuan untuk membolehkan ia menerangkan apa-apa hal-keadaan yang terdapat di dalam keterangan terhadapnya dan hendaklah tidak merupakan sebagai satu pemeriksaan am.

(4) Budibicara yang diberikan melalui seksyen ini untuk menyoal seseorang yang dituduh hendaklah tidak dijalankan dengan tujuan mendorongkannya memberi pernyataan-pernyataan yang memudaratkan dirinya sendiri.

(5) Soalan-soalan hendaklah tidak dikemukakan kepada orang yang dituduh oleh Mahkamah semata-mata untuk menguatkan kes pendakwaan.

(6) Jika orang yang dituduh diperiksa di bawah seksyen ini oleh Mahkamah, keseluruhan pemeriksaan itu termasuk tiap-tiap soalan yang dikemukakan kepadanya dan tiap-tiap jawapan yang diberikan olehnya hendaklah direkodkan dengan sepenuhnya dan rekod itu hendaklah dibacakan kepadanya atau jika ia tidak faham bahasa yang digunakan hendaklah diterjemahkan kepadanya dalam bahasa atau isyarat yang ia boleh faham dan dia hendaklah bebas untuk menerangkan atau menambah kepada jawapan-jawapan itu.

(7) Apabila keseluruhan pemeriksaan itu telah dibuat menepati dengan apa yang dikatakan oleh orang yang dituduh sebagai benar, rekod itu hendaklah ditandatangani oleh Hakim yang membicarakannya.






Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.