ENAKMEN 3 TAHUN 1991
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM 1991

BAHAGIAN V - KEWANGAN



Seksyen 67. Penubuhan Kumpulan Wang Khairat Am.

(1) Satu Kumpulan Wang yang akan dinamakan Kumpulan Wang Khairat Am adalah dengan ini ditubuhkan. Melainkan sebagaimana diperuntukkan selainnya dalam Enakmen ini, Kumpulan Wang itu hendaklah mengandungi semua wang dan harta, alih dan tak alih, yang didermakan, dibayar atau kena dibayar kepada Kumpulan Wang itu oleh mana-mana orang mengikut Hukum Syarak atau Enakmen ini.

(2) Semua zakat dan fitrah yang dipungut mengikut Bahagian ini hendaklah dibayar ke dalam Kumpulan Wang itu tetapi hendaklah diakaunkan dalam akaun yang berasingan.

(3) Semua wang dan harta dalam Kumpulan Wang itu hendaklah terletak hak pada Majlis yang hendaklah mentadbirkan semua wang dan harta itu mengikut Enakmen ini:

Dengan syarat bahawa mana-mana pelaburan aset dan kumpulan wang yang diletak hak pada Majlis boleh dijual, dihasilkan, digadai atau dilupuskan, dan hasil daripadanya boleh dilaburkan dari masa ke masa dalam mana-mana pelaburan yang dibenarkan oleh mana-mana undang-undang bertulis yang pada masa itu berkuatkuasa bagi pelaburan kumpulan wang amanah atau dalam mana-mana pelaburan yang ditetapkan oleh Majlis di bawah subseksyen (4) seksyen 5.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.