ENAKMEN 6 TAHUN 2002
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2002

BAHAGIAN III - PENDAFTARAN PERKAHWINAN



Seksyen 28. Pelantikan Ketua Pendaftar, Timbalan dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam.

(1) Kebawah Duli Yang Maha Mulia AI-Sultan boleh melantik mana-mana pegawai awam yang berkelayakan untuk menjadi Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam bagi maksud-maksud Enakmen ini, yang mana adalah berkuasa menjalankan penyeliaan dan kawalan ke atas Pendaftar-Pendaftar dan pendaftaran perkahwinan, perceraian, dan ruju' di bawah Enakmen ini.

(2) Kebawah Duli Yang Maha Mulia AI-Sultan boleh melantik beberapa orang yang berkelayakan sebagaimana yang perlu, untuk menjadi Pendaftar Kanan, Pendaftar, atau Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam bagi mana-mana mukim masjid dalam Negeri ini sebagaimana yang ditentukan dalam pelantikan itu, walau bagaimana pun Imam tua bagi tiap-tiap masjid hendaklah kerana jawatannya menjadi Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' bagi mukim masjidnya.

(3) Kebawah Duli Yang Maha Mulia AI-Sultan boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, melantik mana-mana anggota staf diplomatik Malaysia di mana-mana negara untuk menjadi Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam bagi maksud-maksud Enakmen ini di negara itu.

(4) Tiap-tiap orang yang dilantik di bawah subseksyen (2) yang bukan pegawai awam hendaklah disifatkan sebagai pegawai awam bagi maksud-maksud Kanun Keseksaan [Akta 574].




Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.