ENAKMEN 2 TAHUN 1996
ENAKMEN ACARA MAL MAHKAMAH SYARIAH 1996

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 3. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"bailif" termasuklah Pendaftar atau mana-mana pegawai Mahkamah yang dipertanggungjawabkan bagi melaksanakan tugas-tugas bailif;

"bermastautin" ertinya tinggal secara tetap atau pada kelazimannya, tinggal berumahtangga dalam sesuatu kawasan yang tertentu;

"bermukim" ertinya tinggal sementara dalam sesuatu kawasan tertentu;

"Borang" ertinya borang yang dinyatakan dalam Jadual Pertama, dan borang yang dirujuk dengan suatu nombor ertinya borang yang dinomborkan sedemikian itu dalam Jadual tersebut;

"dain penghakiman" ertinya orang yang berhak menguatkuasakan penghakiman untuk pembayaran wang sama ada secara ansuran atau selainnya;

"Enakmen Pentadbiran" ertinya Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1992 [En. 2/92];

"harta" ertinya harta alih atau tak alih dan termasuklah harta intelektual;

"Hukum Syara'" ertinya Undang-Undang Islam mengikut Mazhab Shafie atau mana-mana Mazhab lain yang diiktirafkan;

"Kerajaan" ertinya Kerajaan mana-mana Negeri termasuk Kerajaan Persekutuan;

"lien" ertinya hak ke atas harta madin penghakiman setakat amaun yang terhutang;

"madin penghakiman" ertinya orang yang bertanggungan di bawah sesuatu penghakiman bagi pembayaran wang;

"Mahkamah" atau "Mahkamah Syariah" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya oleh Enakmen Pentadbiran dan termasuklah Hakim mana-mana Mahkamah;

"Majlis" ertinya Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak yang ditubuhkan di bawah seksyen 4(1) Enakmen Pentadbiran;

"notis" ertinya notis bertulis melainkan dalam apa-apa hal diperintahkan selainnya oleh Mahkamah;

"Pendaftar" termasuklah Ketua Pendaftar dan Penolong Pendaftar yang dilantik di bawah seksyen 43 Enakmen Pentadbiran;

"orang belum dewasa" ertinya orang yang belum mencapai umur 18 tahun;

"orang tak siuman" ertinya orang tak siuman mengikut Hukum Syara' atau mempunyai erti yang diberi kepadanya oleh Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord. 31/52];

"orang tak upaya" termasuklah orang belum dewasa, orang tak siuman dan orang yang ditegah daripada menguruskan hartanya;

"peguam syarie" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya oleh Enakmen Pentadbiran;

"penghakiman" termasuklah alasan-alasan penghakimannya;

"terjemahan diperakui" ertinya terjemahan sesuatu dokumen yang diperakui betul oleh pegawai Mahkamah atau, oleh mana-mana orang lain yang boleh diterima oleh Mahkamah.

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan tetapi ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] hendaklah mempunyai erti yang diberi kepadanya masing-masing oleh Akta itu, setakat mana ianya tidak bertentangan dengan Hukum Syara'.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.