ENAKMEN 13 TAHUN 1992
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM 1992

BAHAGIAN III - KEWANGAN
AMANAH KHAIRAT



Seksyen 49. Modal wakaf dan nazr am.

(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan subseksyen (2) dan (3), harta dan aset modal yang tersentuh oleh mana-mana wakaf atau nazr am yang sah tidak boleh menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang Baitulmal, tetapi hendaklah digunakan menurut wakaf atau nazr am itu dan dipegang sebagai kumpulan-kumpulan wang yang berasingan.

(2) Jika oleh sebab luput masa atau perubahan hal keadaan maka tidak mungkin lagi dapat dijalankan secara berfaedah akan peruntukan-peruntukan tepat bagi mana-mana wakaf atau nazr am, Majlis hendaklah menyediakan suatu skim menggunakan harta dan aset yang tersentuh olehnya dengan cara yang dikehendaki oleh terma-terma wakaf atau nazr am itu, dan hendaklah menggunakannya sewajarnya:

Dengan syarat bahawa Majlis boleh, dengan kelulusan secara bertulis daripada Yang di-Pertua Negeri, mengarahkan supaya harta dan aset itu hendaklah ditambah kepada dan menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang Baitulmal.

(3) Jika terma-terma bagi mana-mana wakaf atau nazr am itu tidak menyatakan cara penggunaan harta dan aset modal yang disentuh olehnya, atau ada ketaktentuan tentang cara bagaimana ia hendak digunakan, Majlis boleh mengarahkan supaya harta dan aset modal itu ditambah kepada dan menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang Baitulmal.

(4) Segala suratcara yang mewujudkan, yang menjadi keterangan atau yang menyentuh mana-mana wakaf atau nazr am, berserta dengan mana-mana dokumen hakmilik atau lain-lain cagaran yang berhubung dengannya, hendaklah dipegang dan disimpan oleh Majlis.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.