ENAKMEN 1 TAHUN 1991
ENAKMEN PENTADBIRAN HUKUM SYARA' NEGERI SEMBILAN 1991
BAHAGIAN III - MAHKAMAH SYARIAH
Seksyen 41. Bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah.
(1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidangkuasa di seluruh Negeri Sembilan dan hendaklah diketuai oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.
(2) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah
----
(a)
dalam bidangkuasa jenayah, membicarakan mana-mana kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen ini atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 1983 atau undang-undang bertulis lain yang memberi kepada Mahkamah Syariah bidangkuasa untuk membicarakan sebarang kesalahan, dan boleh mengenakan sebarang hukuman yang diperuntukkan di dalamnya; dan
(b)
dalam bidangkuasa Mal, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang berkaitan dengan
----
(i) pertunangan, perkahwinan, penceraian, pembatalan perkahwinan (fasakh) atau perpisahan (faraq);
(ii) sebarang pelupusan atau tuntutan kepada harta yang wujud daripada perkara-perkara yang disebut dalam subperenggan (i);
(iii) nafkah tanggungan, kesahtarafan atau penjagaan (hadzanah) atau jagaan kanak-kanak;
(iv) pembahagian atau tuntutan kepada harta sepencarian;
(v) wasiat atau pemberian pada ketika hampir mati (maradh-al maut) seseorang simati Islam;
(vi) pemberian semasa hidup atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang mencukupi dengan wang atau nilai wang oleh seseorang Islam;
(vii) wakaf atau nazar;
(viii) pembahagian dan pewarisan harta berwasiat dan tidak berwasiat orang Islam; atau
(ix) perkara-perkara lain yang berkenaan di mana bidangkuasa diberi oleh mana-mana undang-undang bertulis.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.