ENAKMEN 4 TAHUN 1994
ENAKMEN MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN 1994


JADUAL KEDUA

JADUAL KEDUA

(Seksyen 8 (3))

PERUNTUKAN-PERUNTUKAN YANG TERPAKAI BAGI PERBADANAN-PERBADANAN

1. Pembatasan pada fungsi-fungsi perbadanan.

Tiada apa jua dalam seksyen 8 boleh disifatkan sebagai membenarkan Majlis membuat perintah untuk menubuhkan sebarang perbadanan yang mempunyai apa-apa kewajipan, kuasa, atau hak yang terkeluar daripada kewajipan-kewajipan, kuasa-kuasa, atau hak-hak Majlis di bawah Enakmen ini.

2. Perintah mempunyai efek mengikat.

Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Enakmen ini, sesuatu perintah yang dibuat di bawah seksyen 8 adalah mengikat perbadanan yang mengenainya ianya dibuat dan hendaklah berkuatkuasa bagi segala maksud seolah-olah ianya telah dikanunkan dalam Enakmen ini.

3. Pindaan dan sebagainya kepada perintah.

Majlis boleh, dengan persetujuan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan pada bila-bila masa meminda, membatalkan, atau menambah kepada apa-apa perintah yang dibuat mengenai mana-mana perbadanan di bawah seksyen 8.

4. Daftar perbadanan.

Majlis hendaklah menyimpan satu daftar bagi semua perbadanan yang ditubuhkan olehnya di bawah seksyen 8 dan daftar itu bersekali dengan salinan-salinan semua perintah yang dibuat di bawah seksyen itu hendaklah terbuka kepada pemeriksaan awam pada tempat atau tempat-tempat dan pada waktu-waktu sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis.

5. Penggulungan.

(1) Majlis boleh, dengan persetujuan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan, dengan perintah yang disiarkan dalam Warta, mengarahkan supaya mana-mana perbadanan yang ditubuhkan olehnya hendaklah digulung dan dibubarkan.

(2) Apabila terbubarnya mana-mana perbadanan di bawah paragraf ini, aset perbadanan itu, setelah dibayar segala tanggungan, hendaklah dipindahkan kepada dan diletakhak pada Majlis.

(3) Penggulungan sesuatu perbadanan di bawah paragraf ini hendaklah dijalankan menurut cara yang ditetapkan oleh Majlis.

6. Perbadanan hendaklah menjadi pertubuhan perbadanan.

Tiap-tiap perbadanan yang ditubuhkan di bawah seksyen 8 hendaklah menjadi sebuah pertubuhan perbadanan dengan nama sebagaimana yang diberikan kepadanya oleh Majlis dan hendaklah kekal turun-temurun dan mempunyai meterai am dan boleh mendakwa dan didakwa atas nama tersebut, dan bagi maksud memaju atau menunaikan fungsi-fungsinya, boleh membuat kontrak dan boleh memegang dan mengurusniagakan apa-apa harta alih atau takalih dan boleh membuat segala perkara dan benda lain yang bersampingan atau berkaitan dengan sesuatu pertubuhan perbadanan yang tidak bercanggah dengan peruntukan-peruntukan Enakmen ini dan tertakluk kepada sekatan-sekatan atau pembatasan-pembatasan sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis dalam tiap-tiap satu hal.

7. Meterai Perbadanan.

(1) Tiap-tiap perbadanan hendaklah mempunyai meterai am, yang hendaklah mengandungi suatu tanda sebagaimana diluluskan oleh perbadanan itu dengan persetujuan Majlis dan meterai am itu bolehlah dari semasa ke semasa dipecah, ditukar, diubah, dan dibuat baru oleh perbadanan dengan persetujuan Majlis.

(2) Sehingga satu meterai am diperuntukkan oleh perbadanan di bawah paragraf ini, suatu cop yang mengandungi nama perbadanan itu bolehlah digunakan sebagai meterai am.

(3) Meterai am, atau cop yang disebut dalam sub-paragraf (2), hendaklah berada dalam jagaan orang yang diarahkan oleh perbadanan dan hendaklah disahkan oleh orang itu; dan segala surat ikatan, suratan, dan suratcara-suratcara lain yang berupa sebagai dimeterai dengan meterai atau cop tersebut, dan yang disahkan sedemikian, hendaklah disifatkan sebagai telah disempurnakan dengan sahnya sehingga dibuktikan sebaliknya.

(4) Apa-apa suratan atau suratcara yang jika disempurnakan oleh seseorang yang bukan pertubuhan perbadanan, tidak dikehendaki supaya dibuat di bawah meterai, boleh dengan cara yang sama disempurnakan oleh perbadanan.

(5) Meterai tiap-tiap perbadanan hendaklah diberi pengiktirafan rasmi dan kehakiman.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.