ENAKMEN 3 TAHUN 1994
ENAKMEN KETERANGAN (MAHKAMAH SYARIAH) 1994
BAHAGIAN II - BUKTI
BAB V - KETERANGAN DOKUMENTAR
Seksyen 49. Keterangan primer.
Keterangan primer ertinya dokumen itu sendiri dikemukakan untuk pemeriksaan Mahkamah.
Huraian 1-
Jika sesuatu dokumen disempurnakan dalam beberapa bahagian, tiap-tiap bahagian itu adalah keterangan primer bagi dokumen itu.
Jika sesuatu dokumen disempurnakan dengan naskah bertimbal dan tiap-tiap satu naskah bertimbal itu disempurnakan oleh satu atau beberapa pihak sahaja, maka tiap-tiap satu naskah bertimbal itu adalah keterangan primer terhadap pihak yang menyempurnakannya.
Huraian 2-
Jika beberapa dokumen adalah semuanya dibuat melalui satu proses yang seragam seperti dalam hal cetakan, litograf atau gambarfoto tiap-tiap satunya adalah keterangan primer mengenai kandungan yang lainnya itu, tetapi jika dokumen itu adalah semuanya salinan daripada satu naskah asal maka dokumen itu tidaklah menjadi keterangan primer mengenai kandungan naskah asal.
Huraian 3-
Sesuatu dokumen yang dikeluarkan oleh komputer adalah keterangan primer.
MISALAN
Seseorang adalah ditunjukkan sebagai telah memiliki beberapa pelekat, kesemuanya dicetak pada satu masa daripada satu naskah asal. Mana-mana satu daripada pelekat itu adalah keterangan primer mengenai kandungan mana-mana satu yang lain itu, tetapi tiadalah satu pun daripadanya menjadi keterangan primer mengenai kandungan naskah asal.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.