ENAKMEN 9 TAHUN 2004
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH 2004
BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN TAMBAHAN
BAB 4 - PERUNTUKAN KHAS YANG BERHUBUNGAN DENGAN KETERANGAN
Seksyen 195. Bagaimana sabitan atau pembebasan terdahulu boleh dibuktikan.
(1) Dalam mana-mana perbicaraan atau prosiding lain di bawah Enakmen ini, suatu sabitan atau pembebasan terdahulu boleh dibuktikan sebagai tambahan kepada apa-apa cara lain yang diperuntukkan oleh mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa -
(a)
melalui suatu cabutan hukuman atau perintah yang diperakui di bawah tandatangan pegawai yang menjaga rekod Mahkamah di mana-mana negeri di Malaysia di mana sabitan atau pembebasan itu telah diputuskan; atau
(b)
dalam hal suatu sabitan, sama ada melalui suatu perakuan yang ditandatangani oleh pegawai yang menjaga penjara di Malaysia di mana hukuman atau mana-mana bahagiannya telah dijalankan, atau melalui pengemukaan waran pemenjaraan yang menurutnya hukuman itu telah dijalani,
bersama dengan, dalam setiap kes sedemikian, keterangan tentang identiti orang tertuduh dengan orang yang telah disabitkan atau dibebaskan sedemikian.
(2) Sekiranya pegawai yang menjaga mana-mana penjara menyatakan dalam mana-mana perakuan yang ditandatanganinya bahawa cap jari yang terdapat pada perakuan itu ialah cap jari orang yang dimaksudkan oleh perakuan itu, perakuan itu hendaklah menjadi keterangan bagi fakta yang dinyatakan sedemikian.
(3) Tiap-tiap Mahkamah hendaklah mcnganggap tulen tiap-tiap dokumen yang berupa sebagai suatu perakuan sabitan dan yang berupa telah ditandatangani oleh pegawai yang menjaga mana-mana penjara di Malaysia, dan hendaklah juga menganggap bahawa pegawai yang olehnya dokumen itu berupa telah ditandatangani ialah, semasa dia menandatangani dokumen itu, pegawai yang menjaga penjara yang disebut dalam dokumen itu.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.