ENAKMEN 4 TAHUN 2004
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (PERAK) 2004

BAHAGIAN VI - KEWANGAN
Baitumal Dan Tatacara Kewangan Majlis



Seksyen 71. Anggaran pendapatan dan belanjawan.

(1) Majlis hendaklah menyediakan dan menyembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan, tidak lewat daripada 31 Oktober dalam setiap tahun, anggaran kesemua pendapatan dan perbelanjaan Majlis, termasuk anggaran segala harta dan segala barang boleh lupus, berkenaan dengan tahun yang berikutnya.

(2) Duli Yang Maha Mulia Sultan, selepas berunding dengan Menteri Besar, boleh meluluskan anggaran itu atau boleh mengarahkan supaya anggaran itu dipinda.

(3) Anggaran yang diluluskan, dengan atau tanpa pindaan di bawah subseksyen (2), hendaklah disiarkan dalam Warta.

(4) Majlis boleh pada bila-bila masa menyembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan anggaran perbelanjaan tambahan berkenaan dengan tahun semasa, atau, pada bila-bila masa sebelum 31 Mac dalam mana-mana tahun, berkenaan dengan tahun yang sebelumnya, dan anggaran itu boleh diluluskan atau dipinda, dan hendaklah disiarkan mengikut subseksyen (2) dan (3).

(5) Tiada wang boleh dibelanjakan, atau harta dilupuskan dalam bentuk barang, kecuali mengikut anggaran yang diperuntukkan dalam seksyen ini dan dengan berdasarkan baucar yang ditandatangani oleh Yang Dipertua atau mana-mana pegawai Majlis atau mana-mana pegawai lain yang diberi kuasa oleh Yang Dipertua.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.