ENAKMEN 12 TAHUN 2002
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI MELAKA) 2002

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 52. Hidup semula sebagai suami isteri atau ruju’.

(1) Dalam seksyen ini "talaq raj’i" ertinya perceraian dengan satu atau dua talaq yang tidak diikuti dengan habis ‘iddah; dan "bersekedudukan semula" ertinya hidup semula sebagai suami isteri dalam tempoh sebelum perceraian menjadi tak boleh dirujukkan.

(2) Jika, selepas sesuatu talaq raj’i, persekedudukan semula berlaku dengan persetujuan bersama, pihak-pihak itu hendaklah dalam tempoh tujuh hari melaporkan hal persekedudukan semula itu dan butir-butir lain yang berkaitan kepada Pendaftar bagi kariah masjid di mana mereka bermastautin.

(3) Pendaftar hendaklah membuat apa-apa siasatan yang perlu dan, jika berpuas hati bahawa persekedudukan semula telah berlaku mengikut Hukum Syarak, hendaklah mendaftarkan persedudukan semula itu dengan membuat suatu pengendorsan pada catatan berhubung dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian, jika perceraian itu telah didaftarkan olehnya, dan hendaklah meminta pihak-pihak itu menyerahkan kepadanya perakuan cerai yang berkaitan dan hendaklah mengeluarkan kepada mereka perakuan persekedudukan semula dalam borang yang ditetapkan.

(4) Pendaftar hendaklah juga menyerahkan suatu salinan perakuan persekedudukan semula itu kepada Ketua Pendaftar yang hendaklah mendaftarkan persekedudukan semula itu dengan membuat suatu pengendorsan pada catatan berhubung dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian yang disimpan olehnya.

(5) Mana-mana pihak kepada suatu perkahwinan yang tidak melaporkan persekedudukan semula sebagaimana dikehendaki oleh subseksyen (2) melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi lima ratus ringgit atau pemenjaraan selama tempoh penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-dua denda dan pemenjaraan itu.

(6) Jika perceraian itu tidak didaftarkan oleh Pendaftar yang kepadanya laporan di bawah subsekyen (2) itu dibuat,dia hendaklah merekodkan dalam perakuan cerai nombor siri dan butir-butir perakuan persekedudukan semula itu dan hendaklah menghantar perakuan cerai itu kepada Pendaftar yang telah mengeluarkannya bersama dengan suatu salinan perakuan persekedudukan semula itu, dan Pendaftar yang satu lagi itu hendaklah sesudah itu mendaftarkan persekedudukan semula itu dengan membuat suatu pengendorsan pada catatan berhubung dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian dan hendaklah menyerahkan salinan perakuan persekedudukan semula itu kepada Ketua Pendaftar yang hendaklah mendaftarkan persekedudukan semula itu dengan membuat pengendorsan catatan berhubung dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian yang disimpan olehnya.

(7) Jika talaq raj’i telah berlaku tanpa diketahui oleh isteri, suami tidak boleh menghendaki atau meminta isteri supaya bersekedudukan semula dengannya tanpa menzahirkan kepadanya hal perceraian itu.

(8) Jika selepas talaq raj’i suami melafazkan ruju’ dan isteri telah bersetuju terhadap ruju’ itu, isteri boleh, atas permohonan suami, diperintahkan oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, melainkan jika isteri itu menunjukkan sebab-sebab yang baik mengikut Hukum Syarak sebaliknya, dan, jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 47, dan seksyen itu hendaklah terpakai sewajarnya.

(9) Jika selepas talaq raj’i suami melafazkan ruju’ tetapi isteri telah tidak bersetuju terhadap ruju’ itu kerana sebab-sebab yang dibenarkan oleh Hukum Syarak, dia tidak boleh diperintahkan oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, tetapi Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 47, dan seksyen itu hendaklah terpakai sewajarnya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.