ENAKMEN 6 TAHUN 2002
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2002

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"anak dara" ertinya seorang perempuan yang belum pernah bersetubuh, sama ada sudah berkahwin atau belum;

"baligh" ertinya umur baligh mengikut Hukum Syarak;

"balu" ertinya perempuan yang suaminya telah mati;

"bermastautin" ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kawasan yang tertentu;

"darar syarie" ertinya bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, maruah atau harta benda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syarak;

"duda" ertinya lelaki yang isterinya telah mati;

"Enakmen Pentadbiran" ertinya Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1982 [En. No. 3/82];

"fasakh" ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Hukum Syarak mengikut seksyen 53;

"Hakim Mahkamah Rayuan Syariah" ertinya seseorang Hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang dilantik di bawah subseksyen 12 (2) Enakmen Pentadbiran;

"Hakim" atau "Hakim Syarie" ertinya seseorang Hakim yang dilantik di bawah perenggan 7 (1) (a) Enakmen Pentadbiran;

"harta sepencarian" ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;

"Hukum Syarak" ertinya Hukum Syarak mengikut Mazhab Syafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanafi atau Hambali;

"iqrar" ertinya suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa ia mempunyai kewajipan atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak;

"janda" ertinya perempuan yang telah bernikah dan diceraikan setelah bersetubuh;

"Ketua Pendaftar" ertinya seorang Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28;

"Ketua Pendakwa Syarie" ertinya Pendakwa Syarie yang dilantik di bawah perenggan 7 (1) (c) Enakmen Pentadbiran;

"Mahkamah" atau "Mahkamah Syariah" mempunyai erti yang sarna yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Mahkamah Rayuan Syariah" ertinya Mahkamah Rayuan Syariah yang ditubuhkan di bawah perenggan 8 (1) (a) Enakmen Pentadbiran;

"Majlis" ertinya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang ditubuhkan di bawah subseksyen 5 (1) Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 [En. No. 4/94] atau mana-mana undang-undang bertulis;

"mas kahwin" ertinya pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut Hukum Syarak, dapat dinilai dengan wang;

"mukim masjid", mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya di bawah Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 [En. No. 4/1994];

"mut' ah" ertinya bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan;

"nasab" ertinya keturunan yang berasaskan pertalian darah yang sah;

"Negeri" ertinya Negeri Kelantan.

"Peguam Syarie" ertinya orang yang diterima di bawah seksyen 18 Enakmen Pentadbiran sebagai Peguam Syarie;

"pemberian" ertinya pemberian sama ada dalam bentuk wang atau benda-benda yang diberikan oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan;

"Pendaftar" ertinya Pendaftar Kanan Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28, dan termasuk Pendaftar dan Penolong Pendaftar;

"persetubuhan syubhah" ertinya persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah mengikut Hukum Syarak atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk mana-mana persetubuhan yang tidak dihukum Had dalam Islam;

"ruju'" ertinya perkembalian kepada nikah yang asal;

"sesusuan" ertinya penyusuan bayi dengan perempuan yang bukan ibu kandungnya, sekurang-kurangnya sebanyak lima kali yang mengenyangkan dalam masa umurnya dua tahun ke bawah;

"ta'liq" ertinya lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan peruntukan Enakmen ini;

"tak sahtaraf' berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah;

"tarikh yang ditetapkan" ertinya tarikh yang ditetapkan di bawah seksyen 1 untuk mula berkuat kuasanya Enakmen ini;

"thayyib" ertinya perempuan yang pernah bersetubuh;

"wali Mujbir" ertinya bapa atau datuk sebelah bapa dan ke atas;

"wali Raja" ertinya wali yang ditauliahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia AI-Sultan Kelantan, untuk mengahwinkan mana-mana perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab atau yang diharuskan oleh Syarak;

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] hendaklah mempunyai erti yang diberi kepadanya masing-masing oleh Akta itu setakat yang erti sedemikian tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual, rujukan bolehlah dibuat kepada skrip bahasa Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.

(4) Kebawah Duli Yang Maha Mulia AI-Sultan boleh dari semasa ke semasa meminda, memotong daripada, atau menambah kepada, Jadual itu.




Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.