ORDINAN 43 TAHUN 2001
ORDINAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM, 2001
BAHAGIAN II - PERKAHWINAN
Seksyen 8. Pertalian yang melarang perkahwinan.
(1) Tiada lelaki atau perempuan, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh, oleh sebab
nasab,
berkahwin dengan-
(a)
ibunya atau bapanya;
(b)
neneknya atau datuknya hingga ke atas, sama ada dari sebelah bapa atau sebelah ibu;
(c)
anak perempuannya atau anak lelakinya dan cucu perempuannya atau cucu lelakinya hingga ke bawah;
(d)
saudara perempuan atau saudara lelaki seibu sebapa, saudara perempuan atau saudara lelaki sebapa, dan saudara perempuan atau saudara lelaki seibu;
(e)
anak perempuan atau anak lelaki kepada saudara lelaki atau saudara perempuan hingga ke bawah;
(f)
emak saudara atau bapa saudara sebelah bapanya hingga ke atas; dan
(g)
emak saudara atau bapa saudara sebelah ibunya hingga ke atas.
(2) Tiada lelaki atau perempuan, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh, oleh sebab pertalian kahwin, berkahwin dengan-
(a)
ibu mertuanya atau bapa mertuanya hingga ke atas;
(b)
ibu tirinya atau bapa tirinya, iaitu isteri bapanya atau suami ibunya;
(c)
nenek tirinya atau datuk tirinya, iaitu isteri kepada datuknya atau suami kepada neneknya, sama ada dari sebelah bapa atau sebelah ibu;
(d)
menantu lelakinya atau menantu perempuannya;
(
e)
anak perempuan tirinya atau anak lelaki tirinya hingga ke bawah daripada isteri atau suami yang perkahwinan telah disatukan.
(3) Tiada lelaki atau perempuan, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh, oleh sebab sesusuan, berkahwin dengan seseorang perempuan atau lelaki yang ada hubungan dengannya melalui penyusuan di mana, jika hubungan itu adalah melalui kelahiran dan bukan melalui penyusuan, perempuan atau lelaki itu tetap dilarang berkahwin dengannya oleh sebab nasab atau pertalian kahwin.
(4) Tiada lelaki boleh mempunyai dua isteri pada satu masa jika isteri-isteri itu adalah bertalian antara satu sama lain melalui nasab, pertalian kahwin, atau sesusuan dan pertalian itu adalah dari jenis yang, jika salah seorang daripada mereka adalah seorang lelaki, menjadikan perkahwinan antara mereka tetap tidak sah di sisi Undang-Undang Islam.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.