ENAKMEN 12 TAHUN 2002
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI MELAKA) 2002

BAHAGIAN III - PENDAFTARAN PERKAHWINAN



Seksyen 28. Pelantikan Ketua Pendaftar, Pendaftar, Timbalan Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju’ Orang Islam

(1) Yang di-Pertuan Agong boleh melantik mana-mana pegawai awam yang berkelayakan untuk menjadi Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju’ Orang Islam bagi maksud Enakmen ini, yang hendaklah mempunyai penyeliaan dan kawalan am ke atas Pendaftar-Pendaftar dan pendaftaran perkahwinan, perceraian, dan ruju’ di bawah Enakmen ini.

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seberapa orang yang berkelayakan sebagaimana yang perlu, untuk menjadi Pendaftar Kanan, Pendaftar atau Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam bagi mana-mana kariah masjid dalam Negeri Melaka sebagaimana yang dinyatakan dalam pelantikan itu.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, melantik mana-mana anggota kakitangan diplomatik Malaysia di mana-mana negara untuk menjadi Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju’ Orang Islam bagi maksud Enakmen ini di negara itu.

(4) Tiap-tiap orang yang dilantik di bawah subseksyen (2) yang bukan pegawai awam hendaklah disifatkan sebagai pegawai awam bagi maksud Kanun Keseksaan [Akta 574].




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.